ADUN sertai gotong royong bina bilik rawatan pesakit

- Advertisement -

MACHANG: ADUN Pulai Condong Azhar Salleh mengetuai gotong royong bagi membina sebuah bilik bagi kegunaan pesakit buah pinggang Wee Hui Yik, 30, menjalani rawatan dengan lebih sempurna.

Azhar berkata, kerja-kerja pembinaan bilik rawatan diperlukan bagi membolehkan Hui Yik menjalani rawatan ‘peritoneal dialysis’ setiap enam jam memandangkan keadaan rumahnya agak usang.

- Advertisement -

Katanya, rumah keluarganya tidak menepati syarat-syarat ditetapkan hospital bagi membolehkan rawatan dibuat di rumah.

“Maka bermula 1 Mei lalu gotong royong yang disertai 20 penghulu mukim di DUN Pulai Condong diadakan. Pembinaan bilik rawatan itu dijangka siap dalam tempoh seminggu.

“Pusat Khidmat DUN Pulai Chondong menyediakan peruntukan sebanyak RM6,000 untuk membina sebuah bilik tersebut,” katanya ketika ditemui selepas gotong royong tersebut.

Sementara itu ibu pesakit terbabit Ooi Siew Gin, 52, berkata, pihak hospital mensyaratkan sebuah bilik tertutup disediakan bagi membolehkan anaknya menjalani rawatan.

Kata beliau bilik tertutup diperlukan supaya kekotoran dan kuman tidak masuk ketika proses rawatan dijalankan.

“Bagi memberitahu Ustaz Azhar untuk mendapat bantuan bagi membina bilik rawatan tersebut,” katanya yang juga seorang armalah.

Sehubungan itu beliau merakam penghargaan dan terima kepada wakil rakyat dan penghulu kerana bekerja keras menyiapkan bilik rawatan bagi kegunaan anaknya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -