Keselamatan pemain bola, atlet perlu dijaga

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan kekerasan dengan menyerang atlet.

Katanya, insiden yang menimpa dua orang pemain bola sepak negara tidak sepatutnya berlaku.

- Advertisement -

“Kami merasa sedih dan kecewa kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut dan ia perlu dibendung dengan segera.

“Pemain bola sepak serta mana-mana atlet sekali pun adalah aset negara yang perlu dijaga. Mereka merupakan individu yang akan mengharumkan nama Malaysia,” katanya pada kenyataan di sini.

Khamis lepas, pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid dilapor cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun.

Dan petang semalam pula negara dikejutkan dengan kejadian pemain sayap Selangor FC Fasal Halim menjadi mangsa simbahan asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

KDN FC berkata, kejadian khianat tersebut diharap tidak berlaku lagi kepada pemain bola sepak atau atlet lain di masa akan datang.

Sehubungan itu KDN FC berharap dua pemain yang cedera kerana serangan tersebut cepat sembuh dan dapat kembali beraksi di padang.

“KDN FC berharap kedua atlet terbabit kembali berbakti kepada pasukan masing-masing bagi memeriahkan semula Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi,” ujarnya.

KDN FC juga berharap pemain bola sepak dan atlet sentiasa menjaga keselamatan diri dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika merasa tidak selamat atau terancam. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -