‘Musuh sentiasa cari jalan kalahkan kuasa Islam’

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

GOMBAK: Penyatuan ummah adalah seruan yang dibawa Nabi Muhammad SAW sejak dari awal menerima wahyu, diikuti hijrah dan pembentukan Negara Islam Madinah hingga seruan itu diterima sebahagian dunia dan Islam menguasai dunia.

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya bagaimanapun berkata, apabila Islam berkuasa, musuh mencari jalan untuk mengalahkan, namun tidak mampu dengan senjata dan peperangan, maka dilakukan dari dalam umat Islam sendiri.

- Advertisement -

Menurut beliau, iaitu dikalahkan melalui cubaan dan usaha serta ikhtiar dengan dipecah-pecahkan hati umat Islam, sehingga dibangkitkan persoalan yang berkaitan dengan perkauman dan permasalahan yang menjadi punca pertembungan.

“Contohnya, mana mungkin orang Arab boleh berada di bawah kepimpinan Turkiye pada waktu itu. Akhirnya timbul pertembungan kaum. Kemudian diapi-apikan lagi dengan pertembungan mazhab. 

“Sampailah ketika saat kita menghadapi kejahatan Zionis Israel pun perkara yang berkait dengan pertembungan mazhab terus diapi-apikan. Inilah kejahatan yang dilakukan oleh musuh. Sudah tentu kita tidak boleh biarkan keadaan itu berterusan. 

“Andainya kita terus berpecah di atas asas apa sekalipun. Perkauman, mazhab, atau soal parti politik kah? Yang nyata. Kita akan lemah,” tegasnya pada Konvensyen Fiqh Al-Wahdah yang diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini kelmarin.

Tambah beliau, fiqah penyatuan dibincangkan itu bertujuan memberikan kefahaman untuk bertindak dan bersama berusaha dan berikhtiar dengan tindakan yang tidak terhenti sekadar teori. 

Beliau yang juga Rektor Akademi Pendidikan KUIZM berkata, seruan kepada seluruh masyarakat agar sama-sama memahami bahawa tidak ada pilihan lain di dalam menghadapi kelemahan umat, kejahatan dan kekuatan musuh, melainkan dengan penyatuan.

“Usaha membina daulah ini akan dibawa sehingga tahap terakhir iaitu Ustaziatul Alam yang bermaksud ‘menyatukan dunia seluruhnya’. 

“Harapan memang sangat besar. Menyatukan dunia seluruhnya tapi dia bermula daripada batu-bata yang kecil. Maka, insya-Allah kita bina kesatuan ini daripada susunan-susunan batu-bata yang kecil.

“Kita hari ini adalah batu-bata yang akan membina kubu umat Islam itu daripada diruntuhkan kesatuannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -