Ahli PAS perlu bijak menelaah muslihat politik

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

GOMBAK: Ahli PAS diseru agar mempunyai kebolehan menelaah apa jua muslihat politik ke atas umat ini yang sedang diatur oleh musuh.

Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri  Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapan beliau pada Konvensyen Fiqh Al-Wahdah membawa tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ yang diadakan di Dewan Dato’ Haji Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini.

- Advertisement -

Beliau sehubungan itu mengemukakan perkembangan positif melibatkan usaha penyatuan melibatkan negara-negara umat Islam di Timur Tengah khususnya di mana senario geopolitik itu dapat dibaca semua orang, tetapi tidak ramai membaca kesan senario itu.

“Musuh akan cuba semaksima mungkin. Di tempat yang ada perpecahan dilebarkan perpecahan. Tempat yang tak ada perpecahan diwujudkan perpecahan. Dan dia tahu umat ini ada kekuatan bila dia ada penyatuan. 

“Sampai mutakhir ini kita lihat dia bukan saja pecah kumpulan. Mazhab dalam mazhab itu dipecahkan lagi. Dalam negara dipecahkan negara sebab negara kalau ada kekuatan kalau ada kesatuan dia ada kekuatan dia pecahkan lagi. 

“Sudan pecah dua, Yaman akan pecah dua, negara itu fizikal negara itu dipecah. Dan kesatuan yang wujud ini dia mesti menjadi kekuatan kalau ada elemen ada pihak yang cuba mewujudkan penyatuan tersebut,” jelasnya.

Beliau memetik pengalaman dari usaha Almarhum Najmuddin Erbakan yang cuba menyatukan negara umat Islam dikenali sebagai G-8, namun berdepan tentangan dalaman serta dianggap sebagai ancaman.

Tambah  beliau, tiada istilah terlambat dalam usaha penyatuan, kerana perpecahan hanya menyebabkan umat hilang kekuatan dalam pelbagai aspek, bukan hanya ekonomi, tetapi juga menyebabkan ancaman kepada kuasa politik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam ucapan itu turut menyentuh tentang  pelbagai situasi perpecahan umat bermula dari perbezaan kefahaman kepada agama hinggalah dikuasai musuh dan menyebabkan kezaliman.

“Apabila kesatuan diwujudkan dalam pelbagai bentuk dan usaha serta institusi, umat Islam menjadi kuat serta segala usaha berjaya dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -