Sesat disebabkan cara berfikir yang salah

- Advertisement -

GAMBARAN kesesatan menurut al-Quran

Apabila kita cuba memahami kepentingan berfikir dengan betul, kita akan dapati jawapan-jawapan yang jelas di dalam al-Quran. Antaranya al-Quran menceritakan mengenai kesesatan golongan terdahulu disebabkan cara berfikir yang salah. Lantas, kesalahan itu mengheret mereka ke lembah kesesatan.

- Advertisement -

Kesesatan yang digambarkan di dalam al-Quran bukanlah dengan maksud tersesat dalam perjalanan, akan tetapi yang dimaksudkan adalah tersesat cara berfikir. Akibat tersesat ini, membawa kepada kekufuran. Antaranya Allah S.W.T berfirman;

وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

“… dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(an-Nisa: 116)

Mensyirikkan Allah S.W.T merupakan gambaran cara berfikir yang salah. Antaranya ada yang membayangkan tuhan itu sebagai dewa-dewa (polytheisme). Ada di kalangan mereka yang mengangkat guru-guru mereka setaraf dengan tuhan, dan banyak lagi. Gambaran-gambaran ini berpunca daripada berfikir cara yang salah.

Apabila kita meneliti, kenapakah golongan terdahulu kufur kepada Allah? Atau kenapakah golongan terdahulu menyekutukanNya? Kita akan dapati ianya berpunca daripada cara-cara berfikir yang salah. 

1. Antaranya di dalam Surah Taha 123 dan Surah al Maidah 16 menggambarkan kesesatan boleh berlaku disebabkan tidak berpegang dengan panduan Allah S.W.T (kitab).

2. Surah an Nur ayat 54 dan Surah al Ahzab ayat 36 menggambarkan kesesatan boleh berlaku disebabkan tidak mengikut panduan yang diajar oleh Para Nabi.

3. Surah Ali Imran ayat 101 dan Surah an Nisa’ ayat 175 menggambarkan kesesatan boleh berlaku disebabkan ingkar daripada arahan Allah S.W.T.

4. Surah an Nisa’ ayat 116 dan 136, dan Surah Shad ayat 82 dan 83 menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku disebabkan tidak mengesakan Allah S.W.T, serta tidak tulus ikhlas dalam mengimani kekuasaanNya.

5. Surah at Taubah ayat 100, Surah al Baqarah 137 dan Surah an Nisa 115 menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku dengan salah faham terhadap al-Quran dan Hadis.

6. Surah Shad ayat 26 dan Surah al An’am ayat 119 menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku disebabkan mengikut hawa nafsu.

7. Surah Ghafir ayat 83 menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku disebabkan kekaguman terhadap diri sendiri.

8. Surah al An’am ayat 116, Surah an Najm ayat 23 dan 28 menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku disebabkan berpegang atas dasar sangkaan, bukan atas dasar hujah.

Banyak lagi gambaran-gambaran punca kesesatan golongan terdahulu yang dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran. Rata-rata ia bermula dengan tersesatnya cara berfikir. 

Kelonggaran terhadap pegangan agama

Di dalam Surah Taha 123 dan Surah al-Maidah 16 menggambarkan kesesatan boleh berlaku disebabkan tidak berpegang dengan panduan Allah S.W.T (kitab). Surah an Nur ayat 54 dan Surah al Ahzab ayat 36 pula menggambarkan kesesatan boleh berlaku disebabkan tidak mengikut panduan yang diajar oleh Para Nabi.

Cara berfikir yang salah akan melonggarkan pegangan terhadap al-Quran yang merupakan panduan Tuhan. Sebab itulah kita boleh lihat keraguan-keraguan yang dilontarkan oleh Orientalis Barat. Mereka tiada sebarang hujah yang kukuh pun untuk membuktikan kebenaran pada pihak mereka. Sebaliknya mereka hanya mampu melontarkan keraguan terhadap Islam.

Tujuan mereka hanyalah untuk melonggarkan pegangan Umat Islam terhadap agamanya. Realiti ini kita boleh lihat pada perangai Bani Israel;

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): “Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula”.”

(Ali-Imran: 72)

Imam Ibnu Kathir menghuraikan ayat ini menggambarkan strategi Yahudi untuk menyesatkan Sahabat-sahabat Nabi S.A.W. Iaitu dengan cara mengerjakan Solat Subuh bersama Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A yang lain, manakala di sebelah petangnya mereka beribadah cara mereka tersendiri. 

Dengan harapan, para Sahabat R.A menganggap bahawa ibadah mereka di sebelah petang itu juga dari ajaran agama, kerana menanggap orang Yahudi lebih awal mengetahui ajaran agama. Justeru, keraguan dalam bab ibadat ini merupakan sebahagian perancangan mereka untuk mengelirukan umat Islam.

Begitulah realitinya hari ini, musuh-musuh Islam menyerang pemikiran umat Islam dengan Sekularisme. Mereka memperkenalkan ‘Islam cara baru’ yang dihuraikan dalam tafsiran ‘religion’. Cara berfikir ini akan menyebabkan umat Islam tidak memahami erti sebenar ibadat dalam Islam yang diajar oleh Allah S.W.T.

Secara tak langsung, umat Islam hanya melihat al-Quran itu sebagai jampi dan dipertandingkan lagunya, bukanlah dianggap sebagai sebuah panduan untuk menyusun sistem dan membentuk cara berfikir yang betul. Inilah kesan parah daripada Sekularisme.

Hawa nafsu yang ingin menyesat

Surah Shad ayat 26 dan Surah al An’am ayat 119 menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku disebabkan mengikut hawa nafsu. Manakala Surah Ghafir ayat 83 menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku disebabkan kekaguman terhadap diri sendiri.

Golongan terdahulu, tersesat kerana merasakan dirinya sebagai tuhan. Masing-masing merasa sombong dengan kemajuan dan kemewahan yang dikecapi. Kemajuan material yang mereka kecapi itu pula tidak diseimbangkan dengan ilmu dan kefahaman terhadap Allah S.W.T yang memberi segala nikmat itu:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُون

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” 

(al Jathiyah: 23)

Dalam Hadis Nabi S.A.W mengenai 3 perkara yang membinasakan:

شُحٌّ مطاع، وهوًى مُتَّبعٌ، وإعجابُ المرء بنفسِه

“Kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan kagumnya seseorang dengan dirinya.”

(Riwayat at Thabrani)

Kita perlu sedar bahawa elemen-elemen ini berlegar dalam pemikiran pemikiran Barat; 

1. Kedekut yang ditaati itu sebagai gambaran sistem Kapitalisme yang enggan mengeluarkan sebahagian hartanya untuk membantu orang susah. Hal ini menjadi pegangan bagi Liberalism Klasik atas nama kebebasan sebagai seorang kaya.

2. Hawa nafsu yang diikuti pula sebagai gambaran Hedonisme yang hanya mengejar kepuasan. Epikuranisme yang menggagaskan Hedonisme, mengajar manusia bahawa kebahagiaan itu adalah dengan kepuasan. Maka, yang dikejar oleh manusia untuk mengecapi kebahagiaan adalah kepuasannya.

3. Kagum dengan diri sendiri ini boleh difahami dengan unsur-unsur Liberalisme, Humanisme dan sebagainya yang melaungkan kebebasan bersuara, yang berpaksikan kepada ‘ketuanan manusia’. Menganggap bahawa manusia itu bebas dan berhak menentukan hala tuju hidupnya.

Teori Barat yang buntu

Demikianlah beberapa gambaran kesesatan golongan terdahulu, yang berpunca daripada cara berfikir yang salah. Rata-rata mengetahui, cara berfikir orang Barat yang salah, telah menyebabkan mereka mengemukakan pelbagai teori, atau ideologi. Teori dan ideologi inilah yang menjerumuskan mereka ke lembah kebingungan.

Apabila kita mengkaji fenomena kebingungan yang melanda masyarakat Barat, kita akan dapati bahawa mereka mencuba-cuba untuk mengemukakan pelbagai teori kebahagiaan. Mereka mengemukakan pelbagai teori untuk mencari erti kebebasan, setelah mereka berada begitu lama di bawah kongkongan gereja.

Mereka menganggap bahawa Islam dan Kristian itu semua sama sahaja. Sedangkan kedua-duanya berbeza. Kristian yang mengongkong mereka itu telah dibuktikan di dalam al-Quran mengenai kesesatan agama itu, yang telah ditunggang oleh para paderi. 

Manakala Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W itu sendiri mengemukakan konsep kebebasan yang sebenar. Namun, disebabkan fobia terhadap istilah ‘agama’, mereka memborongkan semua sekali fobia mereka itu atas nama agama.

1. Mereka mengemukakan Sekularisme, dengan membebaskan politik daripada pengaruh agama. Dengan harapan, politik itu boleh berjalan dengan baik tanpa ‘gangguan agama’. Namun, akhirnya mereka telah melahirkan politikus-politikus yang jahat, yang hanya mengejar kepentingan periuk nasi sendiri sahaja.

2. Mereka mengemukakan Liberalisme dengan harapan membebaskan masyarakat daripada kongkongan agama. Lantas, muncullah Kapitalisme yang berniaga secara bebas tanpa panduan agama. Lama-kelamaan, kapitalis yang asalnya ingin bebas berniaga, bertukar menjadi penindas orang miskin.

3. Muncul pula Sosialisme yang ingin memperjuangkan hak orang miskin daripada penindasan Kapitalisme. Namun, akhirnya Sosialisme itu pula melahirkan penindas seperti Lenin dan seangkatan dengannya. Teori demi teori sejak zaman berzaman tidak menyelesaikan masalah, bahkan menimbulkan masalah yang baru.

Dakwah para Nabi membetulkan cara berfikir

Apa yang digambarkan tadi merupakan kesesatan golongan terdahulu disebabkan cara berfikir mereka yang salah. Begitu juga tersesatnya orang Barat dalam memperkenalkan formula kebahagiaan, yang ternyata mengheret mereka ke lembah kesesatan yang sama. Di sinilah kita perlu memahami bahawa pentingnya berfikir dengan cara yang betul.

Berfikir dengan betul mestilah bermula dengan keterangan yang jelas. Perkara yang samar-samar atau kabur tak mungkin membuahkan cara berfikir yang betul lagi sihat. Sebab itulah kita lihat para Nabi A.S bertemu umatnya membawa keterangan-keterangan yang jelas.

Para Nabi A.S tidaklah menggambarkan Islam itu secara tahyul dan fantasi. Akan tetapi mereka merangsang akal kaumnya agar berfikir dengan betul, melalui keterangan dan objektif yang jelas. FirmanNya;

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِی كُلِّ أُمَّةࣲ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَیۡهِ ٱلضَّلَـٰلَةُۚ فَسِیرُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُوا۟ كَیۡفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِینَ 

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”

(an-Nahlu: 36)

Di dalam ayat yang lain, Allah S.W.T berfirman;

‎قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata…””

Imam Qurtubi menafsirkan perkataan على بصيرة dengan bermaksud ‘di atas keyakinan dan kebenaran’. Ibnu Kathir pula menyatakan ‘di atas keyakinan, pembuktian yang bersifat syar’ie dan rasional. 

Dakwah hari ini yang tumpul

Kita perlu sedar, bahawa dakwah yang kita ingin sampaikan ini, disasarkan kepada manusia yang berakal. Bukannya binatang, apatah lagi tunggul kayu. Justeru, untuk menyampaikan dakwah yang berkesan, mestilah dengan keterangan dan objektifnya yang jelas, agar merangsang akal supaya berfikir dengan betul.

Ideologi-ideologi Barat yang terserap di dalam Dunia Islam, menyebabkan umat mula cenderung berfikir cara Barat. Manakala para pendakwahnya pula terhanyut. Lantas, dakwah yang ingin disampaikan itu, tidak dapat diadun dengan baik. Kesannya, lahirlah para daie yang terkesan dengan Pop-Islamisme, Populisme, Pragmatisme dan sebagainya.

Masing-masing berfikir bahawa keutamaan dalam dakwah itu adalah angka yang ramai. Sekalipun apa yang nak didakwahkan itu kelaut. Golongan ini memberi fokus yang besar terhadap uslub dakwah, tetapi dalam masa yang sama, tidak tahu pun apa isi dakwah yang sepatutnya. Tin kosong.

Inilah beberapa gambaran kehanyutan para daie, yang menyebabkan dakwah itu menjadi tumpul. Tidak mampu membetulkan cara berfikir umat yang salah. Ini kerana masing masing tidak dibiasakan dengan perbincangan tentang pemikiran. Masing-masing melihat tiada kepentingan bab pemikiran dalam medan dakwah

Kita perlu sedar, umat itu perlu dirangsang akal mereka supaya berfikir dengan betul. Bukannya dengan menghidangkan hiburan yang melalaikan yang dilapik atas nama seni dakwah. Kita perlu kenalkan umat dengan Tuhan, bukannya menambahkan lagi perencah kelalaian umat.

Bukakan minda umat agar berfikir dengan betul. Bukannya membebankan umat dengan elemen-elemen pembodohan (Dogmatisme) yang melumpuhkan daya fikir mereka.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -