Data kesan sampingan serius vaksin di laman web KKM

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mulai hari ini, akan memuat naik data mengenai kesan sampingan serius pengambilan vaksin Covid-19 di laman web KKM.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, berkata tindakan itu bagi memastikan maklumat keberkesanan vaksin Covid-19 dapat diakses orang ramai termasuk golongan tegar yang menolak vaksin.

- Advertisement -

“Untuk mereka yang masih tegar, tidak mahu menerima vaksin, kita telah umumkan beberapa kebebasan hanya akan diberi kepada mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Dengan pendekatan ini, saya harap mereka yang masih lagi tegar tidak mahu menerima vaksin akan tampil untuk mendapat maklumat terperinci,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Isnarissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, kata Khairy, bagi individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor perubatan seperti alahan kepada vaksin, individu berkenaan perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar.

Katanya, individu berkenaan kemudian akan dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk mengambil jenis vaksin lain yang bersesuaian.

“Jika individu berkenaan disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin Covid-19 atas sebab perubatan, dia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat secara kendiri,” katanya.

Seterusnya, kata Khairy, individu berkenaan boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan.

Katanya, permohonan itu boleh dikemukakan menggunakan borang khas ‘Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 bagi `Pesakit Dengan Masalah Kesihatan Tertentu’ yang telah disahkan pakar perubatan. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -