Kesesakan di Penjara diatasi elak penularan COVID-19

- Advertisement -

SAYA mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri I, Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr. Ismail Mohamed Said yang memberi jawapan kepada soalan saya dalam sesi jawapan lisan bagi pertanyaan-pertanyaan di Parlimen pada 28 September 2021. Saya mengajukan soalan berkenaan rancangan kementerian untuk menyelesaikan masalah kesesakan penjara pada waktu ini berikutan penularan jangkitan yang pantas di kalangan banduan terutamanya jangkitan COVID-19.

Menurut Yang Berhormat Timbalan Menteri II, statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 25 Ogos 2021 menunjukkan jumlah keseluruhan banduan di penjara adalah seramai 69,507 orang yang mana telah melebihi kapasiti sebenar sejumlah 61,242 iaitu pada kadar 13.50 peratus bersamaan dengan melebihi kapasiti sejumlah 8,265.

- Advertisement -

Jabatan Penjara Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri telah mengambil beberapa tindakan bagi mengurangkan kesesakan dan tindakan-tindakan berkenaan turut berkaitan dengan langkah mengurangkan penularan wabak COVID-19 di seluruh institusi penjara. Antaranya ialah pemindahan banduan dari satu penjara ke penjara lain yang tidak sesak.

Kedua, Jabatan Penjara Malaysia dengan sokongan Kementerian Dalam Negeri telah mewujudkan beberapa penjara sementara. Sebanyak 13 bekas kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah diubahsuai sebagai penjara satelit untuk penempatan banduan yang baharu untuk tujuan pengasingan sebelum dimasukkan ke penjara. 

Ketiga, selain itu Jabatan Penjara Malaysia turut mewujudkan pusat transit penerimaan (PTP) di institusi penjara bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan untuk menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minimum dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh-tarikh kemasukan.

Selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara Malaysia iaitu dua per tiga banduan sabitan yang layak akan menjalani latihan di luar tembok penjara atau pemulihan dalam komuniti (PDK) dengan langkah-langkah mengurangkan kesesakan melalui pelaksanaan dan pemerkasaan seperti pelepasan secara perintah parol, perintah kehadiran wajib, pelepasan awal 14 hari keistimewaan bagi banduan peringkat khas. Kita mengalu-alukan tindakan Kementerian yang prihatin kepada nasib banduan dalam tempoh mereka menjalani hukuman. Kita berharap langkah-langkah yang dibuat oleh Kementerian ini akan mengekang penularan jangkitan berbahaya kepada para banduan dan kakitangan penjara.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -