Sebar usaha dakwah melalui penulisan

- Advertisement -

Oleh DANISYA ISMAIL

- Advertisement -

IPOH: Penulisan merupakan antara medium utama untuk menyebarluaskan maklumat dan juga dakwah, demikian jelas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Najihatussalehah Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bengkel Penulisan (PENA 2021) anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Malaysia yang berlangsung secara atas talian, hari ini.

Katanya melalui penulisan-penulisan yang disiarkan sama ada berbentuk bahan cetak dan juga sebaran di media sosial, ia mampu memberi impak negatif mahupun positif bergantung kepada bahan yang disebarkan.

“Kita lihat pada hari ini, media sosial begitu berleluasa penggunaannya. Tambah pula Allah uji kita dengan keadaan pandemik Covid-19. Ramai manusia (bahkan) seluruh dunia mempunyai masa yang lapang untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa di media sosial.

“Oleh itu, kebolehan dan kemahiran menulis amat (lah) penting kerana medium penerangan pada hari ini tidak lagi fokus melalui ceramah yang mengumpulkan ramai orang,” terangnya.

Dalam pada itu, Dr Najihah menyeru agar seluruh ejen penerangan Muslimat PAS terus komited memperkukuh kemahiran menulis masing-masing agar penulisan tersebut mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

“Dengan sebuah penulisan, seseorang itu boleh berubah daripada keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang baik. Matlamat kita bukanlah menyakiti orang, tetapi tujuan kita (adalah) memberi informasi positif kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

Terangnya, PAS bukan sahaja sebuah parti yang bergerak pada jalur politik, malah turut memberi sepenuh komitmen dalam menggerakkan usaha dakwah yang berjalan secara menyeluruh di setiap peringkat parti.

Maka, Dr Najihah menyeru agar Muslimat PAS sentiasa berusaha menguasai teknik penulisan yang berkesan agar usaha dakwah juga dapat dilaksanakan melalui medium penulisan. – HARAKAHDAILY 7/8/2021

- Advertisement -