Rumah Terbuka PAS Zon Sandakan berkonsep gerai

- Advertisement -

SANDAKAN: Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Zon Sandakan berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu di Dewan Batu Putih, dekat sini, semalam.

Sambutan daripada tetamu amat di luar jangkaan dengan kehadiran luar biasa sebaik sahaja majlis dimulakan.

- Advertisement -

“Pada awalnya kita cuma menjangkakan kehadiran dalam 1,000 tetamu tapi pagi ini sungguh luar biasa sambutan yang ditunjukkan oleh tetamu yang hadir. Alhamdulillah,” kata Pengerusi PAS Zon Sandakan, Sahar Abdul Majid.

Menurutnya, majlis yang berkonsepkan gerai dengan lebih 30 juadah makanan itu telah diuruskan oleh institusi pendidikan di bawah PAS iaitu PASTI dan SRITI.

“Tahun ini sambutan sedikit kelainan berbanding tahun sebelumnya yang berkonsepkan gerai. Tetamu boleh berkunjung ke gerai-gerai yang mereka suka,” jelasnya lagi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan dan ADUN Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain.

Turut hadir ialah mantan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, Yang Dipertua ABIM Sandakan, Fikri Muharram, Ketua Belia USIA Sandakan, Sufan Bahrin dan UPPM N55 Elopura, Ng Boon Leng,

Selain itu, Aliakbar turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi memeriahkan lagi majlis.

“Kemeriahan lebih dirasai dan bermakna dengan kehadiran kita semua dalam majlis yang penuh bermakna ini.

“Berkumpulnya kita di sini asbab meraikan kemenangan kita dalam bulan Ramadan yang lalu dan asbab kita menghargai dan merapatkan ukhwwah sesama kita tanpa mengira latar belakang kita,” tambahnya lagi.

Majlis itu diakhiri dengan agihan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -