Penghayatan mendalam faktor utama istiqamah

- Advertisement -

LAHAD DATU: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Lahad Datu kali kelapan di Ballroom S-Thai, semalam membawa tema ‘Penghayatan Mendalam, Faktor Utama Istiqamah’.

Ketuanya, Landari Labobo berkata, tema itu diangkat bagi menghadapi realiti cabaran tarbiah, dakwah dan siasah terhadap pendukung, penyokong dan masyarakat khususnya di bumi Lahad Datu.

- Advertisement -

Menurutnya, tema itu juga diangkat kerana pemuda berhadapan dengan cabaran politik yang sangat kuat yang mana dapat mengganggu gugat akidah, kefahaman dan tindakan pemuda dalam perjuangan khususnya serangan pemikiran liberal yang sangat berleluasa.

“Kita melihat pada hari ini pelbagai tekanan yang mula dirasai oleh pemuda khususnya institusi pendidikan di bawah pemuda. Kebanyakan program yang biasa dilaksanakan pun sudah mula dipertikai dan mendapat tekanan,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis itu.

Tambahnya, tidak kurang daripada itu, ahli parlimen dan pimpinan masyarakat sudah berpaling untuk menyokong kerajaan sekarang disebabkan habuan dunia.


Katanya, terdapat juga asatizah yang menyokong pembangkang atau yang berani menyatakan kebenaran dalam setiap ceramah sudah mula dihalang daripada terus menyampaikan ceramah atau kuliah.

Beliau juga berpesan agar para pemuda memberi penghayatan terhadap gerak kerja jemaah secara tekun dan menyeluruh, baik dalam aspek rohani dan jasmani, supaya mampu terus istiqamah dalam perjuangan.

Katanya, kehilangan penghayatan dalam urusan gerak kerja parti seperti keikhlasan dan kesungguhan akan memudarkan semangat dalam bekerja seterusnya menghilangkan nilai istiqamah dalam diri pemuda.

Mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS kawasan, Ramli Pataruddin. Perasmian itu dibuat sekali gus dengan Mesyuarat Agung Dewan Muslimat dan Ulamak PAS Kawasan. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!