Apabila ada kasih sayang, hilang buruk sangka

- Advertisement -

LAHAD DATU: Apabila ada kasih sayang dalam berukhuwah, hilanglah perasaan buruk sangka sesama sahabat, kata Dewan Muslimat PAS Kawasan Lahad Datu, Syahidah Mokhtar. Dengan demikian, ujarnya, ia dapat mengelakkan perpecahan dalam jemaah.

Beliau turut berpesan kepada ahli agar berlapang dada dengan kelemahan sahabat serta berhati-hati dalam menjaga sangkaan.

- Advertisement -

“Bersifat lembutlah dengan sahabat dan menjadikan ziarah rumah sahabat sebagai amalan,” ujarnya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS kawasan kali keenam, di sini semalam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS kawasan, Ramli Pataruddin. Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak dan Pemuda PAS kawasan, Zaki Ibrahim dan Landari Labobo.

Majlis memberikan penghargaan kepada empat orang ahli yang telah menghabiskan pengajian di Akademik Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) iaitu Nurmia Habba, Maimunah Mahmud, Jumrah Djamali dan Suzanna Abd Rashid.

Majlis turut menobatkan Anugerah Biro Terbaik kepada Biro Penerangan dan Media Baharu.

Seramai 60 orang perwakilan dan pemerhati mewakili Ameerah, Nusaibah serta tiga Jawatankuasa Muslimat Cawangan iaitu Aman Jaya, Pekan dan Mostyn hadir dalam mesyuarat tersebut. – HARAKAHDAILY 6/5/2024