PRK KKB: Pengundi bukan Melayu ada perubahan

Dato’ Husain Awang
- Advertisement -

KUALA NERUS: PAS Terengganu menghantar lima ‘gelombang’ untuk membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Pesuruhjayanya, Senator Dato’ Husain Awang berkata, bantuan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk tenaga bahkan perbelanjaan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, kita telah sokong dengan begitu baik, insya-Allah. Kita berharap tenaga-tenaga kita yang mempunyai bukan saja kepakaran tapi kemahiran dalam menghadapi pilihan raya sama ada pilihan raya umum mahupun piilhan raya kecil.

“Kita merasakan bahawa jentera kita dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS negeri, di sini, hari ini.

Mengulas berhubung sokongan pengundi bukan Melayu kepada PERIKATAN NASIONAL, beliau berkata, ia tidak boleh dijangka tetapi dilihat ada perubahan.

“Apabila MCA sendiri telah memberikan satu gambaran berhadapan dalam pilihan raya ini sikapnya terhadap DAP tentunya memberi kesan kepada pengundi-pengundi bukan Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat sedang membaca dan melihat perkembangan yang sedang berlaku terutamanya kepada janji yang dibuat oleh kerajaan pusat.

“Selama ini rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada kerajaan yang ada lalu mereka memilih kerajaan yang ada ini dalam pilihan raya yang lalu, tapi harapan yang digantung oleh rakyat itu kesemuanya gagal, hampa dan kecewa.

“Janji-janji yang (dibuat) tidak dapat ditunaikan dan juga kenyataan yang tidak boleh dipertanggungjawabkan oleh pihak kerajaan sekarang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024