Penyuraian trafik di bahagian pulau lebih penting – Pemikir

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) mencadangkan agar kerajaan negeri Pulau Pinang memberi tumpuan kepada penyelesaian penyuraian trafik di bahagian pulau terlebih dahulu daripada membina jambatan sebagai link ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Pengerusinya Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata penyuraian trafik itu adalah keperluan mendesak yang tidak boleh tunggu sehingga 10 tahun atau lebih untuk diselesaikan.

- Advertisement -

“Sepatutnya kerajaan negeri pimpinan DAP ini mendengar suara pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dari awal telah menentang pembinaan terowong kerana kosnya yang terlalu mahal.

“Jika benar kajian trafik memerlukan kepada penghubung ketiga di antara bahagian pulau dan tanah besar, sudah pasti pembinaan jambatan adalah lebih murah lebih praktikal dan sekarang kerajaan negeri terpaksa berbelanja lagi untuk membuat kajian kebolehlaksaan untuk membina jambatan pula.

“Kos mungkin sekitar RM10 juta lagi dan jika mahu penjimatan kos, pihak kerajaan negeri boleh meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat kajian. Pihak JKR mempunyai kepakaran dalam pembinaan jambatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan sebagai link ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Bagaimanapun menurut Chow setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk pembinaan jambatan.

Sementara itu Muhamad Farid berkata Pemikir berpendapat adalah membazir sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang mahu membina jambatan sebagai link ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Katanya kajian kebolehlaksanaan terowong sebanyak RM20 juta akan dibazirkan begitu sahaja jika terowong dasar laut itu tidak dilaksanakan seperti yang dirancang. – BERNAMA

- Advertisement -