EAIC perlu cukup kuku dan taring untuk bertindak

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu tegas menangani isu integriti di kalangan anggota penguatkuasa, selain mendedahkan punca segelintir daripada mereka terbabit dalam amalan rasuah.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, juga mempersoalkan status terkini Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan sejak tahun 2009 dan sama ada, agensi itu mencapai objektif penubuhan.

- Advertisement -

“Berapakah jumlah aduan yang telah diterima dan diambil tindakan oleh EAIC? Persoalan modal insan dan integriti amat perlu dititikberatkan. Sejauh mana kerajaan memandang serius hal ini?

“Adakah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang ditubuhkan pada 1 Jun 2018 masih berfungsi dengan kuku dan taring secukupnya?” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri tidak mahu penubuhan agensi berkenaan bersifat indah khabar dari rupa memandangkan banyak agensi, jabatan, institut ditubuhkan, tetapi fungsi dan bidang kuasa bertindih, selain tidak mencapai tujuan utama penubuhannya.

Katanya, ini memberi gambaran bahawa wang rakyat dibelanjakan, tetapi tidak membuahkan hasil dalam usaha memerangi rasuah.

Beliau juga memohon pencerahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai statistik kes kematian tahanan di dalam lokap bagi tahun 2019 sehingga sekarang.

Katanya, ketelusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam hal ini amat penting memandangkan isu ini melibatkan persoalan kepercayaan orang awam terhadap imej institusi polis yang perlu dipelihara dan dipertahankan. – HARAKAHDAILY 30/9/21

- Advertisement -