KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan supaya menyediakan garis panduan lesen penjualan arak berikutan kes-kes kemalangan yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol masih berlaku dan hampir mengorbankan nyawa pihak lain.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, Bahagian Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini pernah menarik balik garis panduan lesen penjualan arak, yang mula diperkenalkan pada 1 November 2021 tanpa alasan yang kukuh.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, garis panduan yang dikenakan itu mengambil kira faktor penjualan di kawasan kepadatan penduduk bukan-Islam serta waktu jualan yang bersesuaian.
“Ia diperkenalkan sebelum ini berikutan kes-kes kemalangan maut yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang menjadi kebimbangan masyarakat dalam negara ketika itu.
“Malangnya, garis panduan yang seharusnya menjadi contoh itu dimansuhkan apabila bertukar tampuk kepimpinan.
“Apakah pihak yang menyokong penjualan arak secara berleluasa ini mahu tampil bertanggungjawab terhadap kes-kes kemalangan disebabkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol?
“Apakah di saat ramai yang terkorban disebabkan pemanduan mabuk selama ini kita masih tegar membiarkan perkara tersebut berlaku untuk ke sekian kalinya dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, DUPP menurutnya, turut menggesa Kerajaan mengenakan dasar sifar toleransi terhadap pemandu mabuk di mana Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 2021 masih belum cukup menjadi penghalang untuk membendung kes-kes pemanduan mabuk ini daripada terus berlaku.
“Kita perlu beralih kepada aspek-aspek mikro dasar yang melibatkan kepada tindakn mendefinisikan, perlesenan serta penguatkuasaan yang keseluruhannya tertakluk di bawah Akta Eksais 1976.
“Tambahan lagi, kempen serta pendidikan jauhi minuman beralkohol secara terbuka amat wajar diperkenalkan bagi memastikan masyarakat amnya juga terdidik dengan bahayanya kepada kehidupan apatah lagi ketika dalam pemanduan,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam satu kemalangan di Johor Bahru.
Siti Nurul Masyitah merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Sea 2023 melalui acara berkayak perahu naga kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.
Kejadian berkenaan menurut laporan tersebut, berlaku di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada Sabtu lalu apabila motosikal ditungganginya dirempuh dan diseret sejauh 600 meter oleh sebuah kereta dipercayai dipandu seorang lelaki mabuk. – HARAKAHDAILY 16/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!