Isu Pulau Batu Puteh: Tindakan PH mengecewakan

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Tindakan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang telah menarik balik permohonan semakan tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 adalah sangat mengecewakan dan tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, semua pihak termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah menyatakan kekecewaan kerana ia adalah berkaitan soal maruah negara dan tanah air. 

- Advertisement -

Justeru, menurutnya perkara tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan berdasarkan pelbagai sumber, Malaysia seharusnya menyelesaikan masalah tersebut dengan membawa isu tersebut ke mahkamah terlebih dahulu dan bukannya mengibarkan bendera putih semudah itu. 

“Setiap inci negara berdaulat ini harus dipertahankan. Kita tidak harus mudah menyerah kalah tanpa terlebih dahulu bertarung di gelanggang yang sebenar iaitu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Ini kerana tindakan menyerah kalah sebelum berhujah di mahkamah antarabangsa bukan sahaja merugikan negara tetapi meletakkan negara dalam reputasi yang tidak baik.

“Perkara ini jelas telah dipertikaikan oleh semua pihak apabila PH telah menarik balik tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh pada tahun 2018 tanpa menyatakan alasan yang kukuh,” katanya apabila dihubungi HarakahDaily di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes pulau berkenaan.

Perkara tersebut menurut Ismail Sabri, adalah bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, langkah Ismail Sabri itu merupakan satu tindakan yang wajar kerana berlandaskan bahawa pimpinan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai rasa tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul untuk memastikan hak dan kedaulatan negara dituntut sewajarnya tanpa mudah menyerah kalah, berdasarkan bukti-bukti yang yang konkrit dengan berhujah di peringkat antarabngsa.

Katanya lagi, jawatankuasa yang dibentuk oleh Perdana Menteri merupakan satu langkah yang baik kerana hal ini jelas menunjukkan pimpinan PH di bawah Tun Dr Mahathir sebelum ini menunjukkan bahawa mereka menyerah kalah sebelum berperang.

 “Ini berkaitan dengan maruah negara dan ia seharusnya dituntut melalui saluran yang betul dengan bukti-bukti yang konkrit. Malaysia mempunyai bukti baru yang konkrit  dan dokumen baru yang mewajarkan tuntutan Pulau Batu Puteh ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY-25/10/2021

- Advertisement -