UMMAH lapor polis Ganabatirau hina penjawat awam

BENTONG: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Pahang dan PAS Kawasan Bentong telah membuat laporan polis berhubung rakaman video ADUN DAP Selangor yang menghina penjawat awam sebagaimana tular kelmarin dahulu.

Advertisement

Pengerusi UMMAH Pahang, Ustaz Roslan Md Esa menonton video di laman Facebook ADUN Kota Kemuning, Ganabatirau Veraman itu dan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, semalam.

Menurut beliau, selaku wakil rakyat dan juga anggota pentadbiran yang turut sama terlibat dalam urusan kerajaan negeri, kenyataan Ganabatirau itu disifatkannya sangat biadab dan amat keterlaluan.

“Dia adalah Yang Berhormat wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, jadi tidak sepatutnya menggunakan bahasa-bahasa yang sangat biadab, maki hamun, cerca, perlekehkan penjawat awam.

“Saya kesal terhadap apa yang berlaku dan saya harap perkara ini tidak akan berulang walaupun saya mendapat maklumat permohonan maaf telah pun ada,” ujarnya.

Telah berkali-kali wakil rakyat DAP menimbulkan kemarahan rakyat dan masyarakat di mana setiap kali itu mereka melakukannya dan kononnya atas rasa bersalah, akan disusulilah dengan permohonan maaf.

“Saya nak bagitahu, undang-undang adalah undang-undang. Jadi kita minta pihak PDRM panggil dan siasat, apa motif sehingga terjerit-jerit dan memaki hamun penjawat awam tersebut,” tegas Roslan merangkap Penyelaras PAS Dun Ketari.

Jelas beliau lagi, penjawat awam bekerja memajukan negara dan membantu masyarakat, justeru jika terdapat kelemahan di mana-mana ianya perlu ditegur secara berhemah dan mengikut salurannya.

Beliau ditemani Pengarah Pilihan Raya PAS Parlimen (JPrP) Bentong, Jamali Raib dan Ketua Pemuda, Mohd Naqib Sahimi serta Ahli Jawatankuasa Lajnah Alam Sekitar dan Asas Tani (LATAS), Nordin Rasip dan Ketua PAS Cawangan Janda Baik, Syariffudin Ali.

Isnin lalu, tular di media sosial video membabitkan Ganabatirau dilihat memaki hamun kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, ekoran tidak berpuas hati dengan isu banjir yang berlaku.

Ganabatirau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, membuat makian dan cacian berbunyi, “Kerja bodoh macam ini”,  “Tak boleh buat kerja”, “Tak tahu baca punya orang”, dan “Macam bodoh punya kerja”.

UMMAH Pahang meminta pihak polis menyiasat ADUN Kota Kemuning ini di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana akta lain. – HARAKAHDAILY 28/10/2021