Perang Khaibar dan rasuah Yahudi

Dedak yang merobohkan jati diri Mukmin

- Advertisement -

MENGAPA rasuah disebut dedak?

Menurut Ibnu Al Manzur, rasuah juga disebut sebagai suapan makanan ayam, yang kita sebut sebagai dedak. Ia adalah simbolik secara sinis dengan makna jaminan kesenangan hidup dalam jangka panjang. Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun. (https://www.sprm.gov.my/ )

- Advertisement -

Peristiwa Khaibar yang gawat

Berlaku pada bulan Muharram tahun ketujuh Hijrah. Apabila Yahudi di Kota Khaibar (terletak di Utara Madinah dalam jarak tidak sampai 100 km) mula menunjukkan penentangannya melalui keterlibatan jarak jauh dalam Perang Ahzab dan pelbagai usaha yang lain dengan jaringan Yahudi di Madinah, Abdullah bin Ubai dan Kumpulan Badawi.

Perang yang berlangsung lebih 40 hari ini telah berjaya dimenangi oleh umat Islam sekali gus menjadikan Khaibar sebagai wilayah di bawah kekuasaan Islam.

Dana asing yang merosakkan negara

Yahudi Khaibar secara konsisten menjadi tulang belakang sama ada dari aspek idea mahupun dana melalui Yahudi yang berada di Madinah dan kemesraan bersama Abdullah bin Ubai. 

Kemuncak persepakatan mereka mahu merampas kuasa dibuat melalui peperangan Khandaq. Akibat adanya usaha mahu merosakkan negara dengan campur tangan asing, menjadikan Madinah gawat untuk bertempur musuh dari luar juga dari dalam kota.

Sebagai ulangkaji, Perang Khandaq adalah hasil kesepakatan pihak Musyrikin Makkah, Yahudi Bani Nadhir dan Ghatafan yang diusir ke Khaibar, kemudian disusuli pula oleh Yahudi Bani Quraizah. (Rahiqul Makhtum)

Membasmi sarang penjenayah

Demi memastikan Madinah stabil secara dalaman dan selamat dari campur tangan asing, Baginda S.A.W mengisytiharkan peperangan terhadap Yahudi yang berpusat di Khaibar. Berbeza dengan peperangan yang lain, Baginda akan merahsiakan lokasi dan seteru yang akan diperangi. Tetapi Khaibar telah diisytiharkan secara terbuka menyebabkan Abdullah bin Ubai menghantar mesej kepada Yahudi Khaibar supaya bersiap siaga.

Sepatutnya, serangan ini dibuat lebih awal, tetapi disebabkan ancaman pihak Quraisy yang tidak putus-putus, menyebabkan ianya tertunda. Maka, pada awal Muharram tahun ke-7 Hijrah, misi Khaibar bermula dengan bala tentera berjumlah 1,400 orang sahaja (dikhususkan untuk mereka yang terlibat dengan Perjanjian Hudaibiah sahaja).

Khaibar menjadi panduan penting buat kita, supaya menyelesaikan masalah hendaklah daripada akar atau puncanya. Selagi mana ia tidak dibereskan, maka selagi itu jugalah Madinah sentiasa diancam dan diserang. Kata Nabi S.A.W yang bermaksud:

 “Tidak boleh ada dua agama di Jazirah Arab”.

Risalah Islam sebagai matlamat utama, bukan kebendaan

Kisah yang masyhur ketika Khaibar adalah penyerahan panji perang kepada Ali bin Abi Talib. Pesanan Nabi S.A.W kepada Saidina Ali sebagai bukti bahawa Islam tidak meletakkan kebendaan sebagai keutamaan.

Kata Ali “Wahai Rasulullah, aku akan memerangi mereka sehingga mereka sama seperti kita”. Lalu dijawab oleh Nabi S.A.W yang bermaksud “Jangan terburu-buru, serulah mereka kepada Islam, Sampaikan kepada mereka hak Allah yang perlu ditunaikan. Demi Allah, jika Allah memberi petunjuk kepada dirimu, maka itu lebih baik daripada engkau memiliki unta merah”Rahiqul Makhtum

Diberi perlindungan dan perlu membayar cukai

Membayangkan kejahatan Yahudi, sudah tentu mengusir atau dibunuh mereka menjadi pilihan Nabi! Tetapi Yahudi Khaibar merayu untuk mereka dibenarkan tinggal di situ supaya menguruskan tanah dan tanaman yang ada. Ia dipersetujui oleh Nabi memandangkan sukar untuk menyediakan pekerja dan prasarana dari Madinah, lagi pula ia adalah kepakaran Yahudi Khaibar. 

Sebagai janji perlindungan, penduduk Khaibar perlu membayar cukai (jizyah) yang diambil melalui hasil tanaman mereka. Sahabat Nabi yang diarahkan untuk mengutip cukai tersebut adalah Abdullah bin Rawahah dan Jabbar bin Sakhr.

Cubaan menyogok pegawai Nabi

Dalam beberapa riwayat menyebutkan, ketika Abdullah bin Rawahah menjalankan tugasnya untuk mengutip cukai hasil tanaman Khaibar, ada usaha untuk menyogok beliau supaya mereka tidak lagi perlu membayarnya: 

عن سليمان بن يسار أن رسول الله كان يبعث عبد الله بن رواحة إلى خيبر، فيخرص بينه وبين يهود خيبر. قال: فجمعوا له حليًّا من حلي نسائهم، فقالوا له: هذا لك، وخفِّف عنا وتجاوز في القسم. فقال عبد الله بن رواحة : “يا معشر اليهود، والله إنكم لمن أبغض خلق الله إليَّ، وما ذاك بحاملي على أن أحيف عليكم، فأَمَّا ما عرضتم من الرشوة فإنها سحت، وإنَّا لا نأكلها”. فقالوا: بهذا قامت السموات والأرض

“Rasulullah S.A.W mengutus Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk mengutip cukai dari Yahudi Khaibar. Mereka mengumpulkan perhiasan barang kemas wanita-wanita mereka lalu berkata kepadanya “Ringankanlah (bebanan) kami, permudahkanlah urusan kiraan cukai”. Berkata Abdullah bin Rawahah “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah, sesungguhnya menurutku kalian adalah makhluk yang dimurkai Allah. Bukanlah apa yang daku tanggung kerana takutkan kamu. Sesungguhnya rasuah yang kamu tawarkan merupakan harta yang keji dan kami tidak memakannya.”

(Bicara Anti Rasuah Dalam Perspektif Syariah)

Dalam riwayat lain, Abdullah bin Rawahah menyebutkan kepada Yahudi itu dengan gelaran, wahai si bangsa Kera dan Khinzir! Gambaran betapa ia adalah perlakuan yang sangat hina. (Manhaj Haraki Sirah Nabawiyah)

Qudwah generasi terbaik

Jawapan Abdullah bin Rawahah sepatutnya menjadi panduan untuk mereka yang berada di posisi penting dalam kerajaan terutama sebagai pegawai, apatah lagi pemain politik. Keadilan tidak akan terzahir kecuali ianya ditonjolkan oleh umat Islam dalam realiti pentadbiran, bukan hanya omongan kosong dalam ceramah atau ucapan. 

Barangkali dalam fikiran sesetengah kita akan menganggap ia adalah hadiah dan bukannya rasuah! Ucapan itu hanyalah membuktikan betapa kita sendiri tidak memahami maksud rasuah dan bezanya dengan hadiah.

Perakuan Yahudi terhadap malapetaka rasuah

Dalam riwayat lain menyebutkan, selepas mereka mendengar penolakan keras Abdullah bin Rawahah, Yahudi itu menjawab “dengan ini (iaitu dengan tidak memakan rasuah) akan tertegaklah langit dan bumi (keadilan).”

Kata Dr. Munir Ghadban “Sebuah pemerintahan Islam hendaklah berusaha menunjukkan keadilan terhadap musuh dan teman. Ia menjadi satu indikator terbesar untuk menzahirkan keadilan kepada musuh sebelum menjadi kawan.” (Manhaj Haraki Sirah Nabawiyah)

Kualiti yang mengalahkan kuantiti

Hampir sebahagian besar pertembungan umat Islam dengan musuh dalam jumlah yang tidak seimbang termasuklah Khaibar.

“Hanya yang terlibat dalam Hudaibiah sahaja yang layak turut serta dalam ekspedisi Khaibar”.

Begitulah arahan yang tuntas daripada Nabi S.A.W untuk menggempur Yahudi. 1,400 pahlawan yang memiliki kejituan keyakinan menentang lebih 10,000 ketumbukan yang lengkap secara zahirnya sahaja, namun kontang pegangannya.

Para sejarawan menggambarkan kekuatan Yahudi Khaibar dengan angka dan pertahanan yang ampuh. Benteng pertahanan Kota Khaibar terdiri daripada 2 bahagian. Satu bahagian memiliki 5 buah kubu dan satu bahagian lagi 3 buah kubu.

Jumlah keseluruhan Kubu yang utama adalah sebanyak 8 kubu tidak termasuk kubu-kubu kecil. 8 Kubu besar itu ialah Kubu Naim, Kubu Sha`ab bin Muaz, Kubu Zubair, Kubu Ubay, Kubu Nizar, Kubu Qamush, Kubu Wathih dan Kubu Salalim.

Dari sini, ia menjadi satu indikator penting buat umat Islam, bahawa kualiti individu untuk terjun dalam lapangan dakwah adalah lebih utama berbanding meletakkan kuantiti dan jumlah yang ramai sebagai faktor utama. Pemimpin yang berkualiti, secara adatnya, akan menghasilkan pengikut yang berkualiti lagi berintegriti. 

Ucapan Raja Najasyi yang menginsafkan

Pernah Amru bin Ass ketika sebelum pengislamannya, ingin mempengaruhi keputusan Raja Najashi memberi perlindungan kepada kaum Muslimin. 

Ketika itu, Amru bin Ass mengetuai angkatannya ke Habshah bagi menyampaikan sogokan kepada Raja Najashi agar menyerahkan kaum Muslimin kepada mereka. Namun, Raja Najashi menolak seraya berkata: 

مَا أَخَذَ اللَّهُ مِنِّي الرِّشْوَةَ حِينَ رَدَّ عَلَيَّ مُلْكِي فَآخُذَ الرِّشْوَةَ فِيهِ، وَلَا أَطَاعَ النَّاسَ فِيَّ فَأُطِيعَ النَّاسَ فِيهِ

“Allah tidak mengambil rasuah dariku ketika Dia mengembalikan kerajaanku kepadaku, sehingga aku (perlu) mengambil rasuah padanya (dalam urusan kerajaan), dan Dia tidak menjadikan manusia taat kepadaku (kerana rasuah) sehingga aku (perlu) taat kepada manusia kerananya (rasuah).”

Kalam Najashi ini mempunyai erti yang besar. Amru bin Ass memahaminya kerana ayahanda Raja Najashi telah mangkat kerana najis rasuah. Para hulubalang Kerajaan Najashi berkomplot merebut harta sehingga pertumpahan darah. Namun, pengkomplot turut terbunuh dan Raja Najashi mengambil alih kerajaan setelah pemergian bapanya (Dr. Muhammad Atiullah Othman)

Kegagalan memahami makna sebenar rasuah sememangnya merosakkan integriti umat Islam di hadapan musuh-musuh lalu menghilangkan ketakutan musuh terhadap Islam kerana salah laku umatnya.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 27/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10226412590320743/

- Advertisement -