Adakah judi baik untuk rakyat Malaysia?

- Advertisement -

APAKAH ada kebaikan aktiviti perjudian untuk rakyat dan negara? Apakah wajar alasan meletakkan aktiviti perjudian sebagai salah satu sumber ekonomi utama bagi menjana pendapatan negara? Adakah judi ini hanya memberi kesan buruk kepada bangsa Melayu dan Islam sahaja?

Menurut Kamus Dewan Bahasa, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan. Manakala, dalam Bahasa Arab pula dikenali sebagai sebagai al-maisir atau al-qimar yang bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah.

- Advertisement -

Beberapa ulamak menyatakan mengenai takrifan judi antaranya adalah:

1. Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)

2. Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)

3. Syeikh Ali al-Sabuni menyebut, judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)

Berdasarkan takrifan yang diberikan, jelaslah bahawasanya aktiviti perjudian merupakan satu permainan yang mengandungi pertarungan daripada semua yang bertanding, pertaruhan ini akan mengakibatkan keuntungan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.

Terdapat ayat al-Quran yang menyatakan keburukan judi lebih besar dan dari manfaat serta ayat Al-Quran yang menyatakan pengharaman judi iaitu yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…””

(al-Baqarah: 219)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(al-Maidah: 90)

Walaupun Malaysia mempunyai masyarakat majmuk dan kepelbagaian agama, namun tiada satu pun yang menyatakan mengenai kebaikan daripada perjudian. Bahkan, ianya terbukti telah merosakkan institusi kekeluargaan dan masyarakat merentasi kaum dan agama. Antara kesan buruknya ialah aktiviti perjudian boleh menyebabkan seseorang itu lalai daripada tanggungjawab yang dipikul sehingga menyebabkan kehabisan wang dan dibebani hutang. Akibat daripada hutang ini juga seseorang itu mudah terjebak dengan jenayah sehingga mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan dan perpecahan dalam masyarakat.

Selain itu, kesan aktiviti perjudian dalam kalangan masyarakat ini secara tidak langsung akan memberi kemudaratan kepada negara. Contohnya seperti aktiviti perjudian yang berlaku di kalangan pegawai kerajaan atau penjawat awam yang boleh menyebabkan rasuah berlaku akibat daripada kerugian yang dialami. Maka apabila rasuah berlaku, ianya akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negeri dan negara akan menjadi kucar kacir dan menimbulkan masalah lain seperti masalah ekonomi, pengabaian terhadap masyarakat jika amalan rasuah terus berleluasa di peringkat pimpinan negara.

Oleh itu, tindakan kerajaan yang terbaru dengan mengumumkan mengenai kelulusan permohonan semua syarikat perjudian untuk cabutan khas nombor ramalan sebanyak 22 kali sepanjang tahun ini adalah sangat tidak wajar berlaku. Lebih-lebih lagi, negara dan rakyat masih lagi terkesan dengan pandemik yang melanda.

Allah menjadikan kekayaan sumber alam ini untuk ditadbir dengan sebaiknya dan diagihkan kepada semua manusia yakni rakyat. Maka, alasan atau rasionalnya untuk menjana keuntungan ekonomi adalah sangat dangkal kerana terdapat banyak lagi sumber yang boleh dijadikan hasil bagi negara.

Semoga kita semua dijauhi dengan segala perkara yang dilarang sehingga menyebabkan kemurkaan dan mengundang lebih banyak kecelakaan kepada negara dan rakyat. 

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 24/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/430665967118189/posts/1781559208695518/

- Advertisement -