Masa dan nota

- Advertisement -

MANUSIA dicipta pelupa. Manusia perlu diingatkan. Manusia bukan sahaja lupa ilmu yang dipelajari, namun apa yang perlu dilakukan. Sebagai peguam, ada banyak tugasan harian yang perlu dilangsaikan. Mengurus masa bukan sesuatu yang mudah. 24 jam seolah tidak mencukupi. Apatah lagi kalau banyak perkara selain kerja hakiki perlu juga dipenuhi.

Bagaimana menjadi seorang yang efektif?

Yang boleh menyelesaikan tugas hakiki, tanggungjawab peribadi dan kerja-kerja sampingan. Ramai bertanya soalan ini. 

- Advertisement -

Bagaimana boleh buat banyak benda dalam masa yang sama? 

Multitasking tanpa mengkompromi kualiti. Jawapannya ada pada fokus keutamaan dan waktu ia dilakukan.

Cara saya ialah membuat catatan mengenai apa perlu dilakukan setiap hari mengikut senarai keutamaan. Ada ‘bucket list’ utama dan sekunder.

Perkara utama adalah yang perlu diselesai dengan fokus untuk menghasil kualiti. Perkara sekunder adalah yang perlu diselesai secara kelaziman dan tidak perlu banyak penaakulan.

Berikut adalah contoh ‘bucket list’ saya sebagai seorang peguam:

Perkara utama:
1. Hujahan Rayuan.
2. Pendapat Undang-undang kes baru.
3. Afidavit jawapan injunksi.
4. Slide pengajaran.
5. Nota diskusi untuk forum.

Perkara sekunder:
1. Bayar insurans.
2. Bayar LHDN.
3. Call TNB – adu bil tinggi.
4. Dokumen untuk pinjaman baru.
5. Layout pejabat baru.
6. Set tarikh mesyuarat NGO.

Ini contoh. Senarai anda lebih hebat. Anda perhatikan perkara sekunder itu adalah yang kurang produktif. Maka ia harus dilakukan ketika waktu tidak produktif. 

Bila? Ketika awal pagi setibanya di pejabat. Dalam perjalanan ke mesyuarat. Ketika waktu makan tengahari. Dan sebagainya. Saya gemar menyelesaikan perkara kurang produktif dalam perjalanan ke pejabat atau, dalam jam pertama setibanya di pejabat. 

Kemudiannya perkara utama dilakukan ketika waktu produktif. Ketika minda sudah panas dan bersedia untuk tugasan lebih berat. Cara saya ialah lakukannya antara jam 10 – 12 tengahari, atau 2-4 petang di pejabat. Atau ketika malam hari antara jam 10-12 malam. 

Dengan membahagikan kerja dan waktu sebegini, saya dapati ia lebih efektif. Kita mampu lakukan banyak perkara dengan berkualiti dan berkesan. Ya, dan tentunya sebagai peguam, anda perlu ambil kira tarikh-tarikh mahkamah dan mesyuarat-mesyuarat penting. Bertabahlah. 

Bagaimana menulis nota?

Dahulunya buku 555 jadi kegemaran. Sekarang aplikasi reminder dalam Iphone lebih berkesan, kerana widget akan paparkan terus reminder tersebut di skrin anda. Saya pasti ada cara yang lebih baik. Ayuh kongsikan cara pengurusan masa anda. Saya harap sekelumit pengalaman sendiri ini boleh memberi manfaat.

Wallahu’alam.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 24/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1460461665/posts/10225655865851020/

- Advertisement -