Tingkatkan hasil negara melalui reformasi cukai

- Advertisement -

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat memuji inisiatif Kementerian Kewangan (MOF) mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet (PBS) bermula tahun ini kerana ianya adalah langkah yang boleh menambahbaik proses penyediaan bajet tahunan.

Antara perkara yang disentuh secara khusus oleh PBS ialah strategi untuk memperbaikan strategi ke arah meningkatkan hasil cukai. Ini berdasarkan prestasi pungutan cukai oleh Kerajaan untuk tahun 2021 yang di bawah tahap sasaran.

- Advertisement -

Setakat Julai 2021 kutipan Cukai Langsung adalah sebanyak RM67.4 billion atau 56.2% daripada sasaran, manakala Cukai Tidak Langsung mencatat kutipan sebanyak RM24.8 billion atau 59% daripada sasaran.

Kami berpandangan bahawa berdasarkan struktur ekonomi yang bersumberkan modal sekarang, hasil cukai masih merupakan sumber utama pendapatan Kerajaan, yang mana ianya mempunyai kesan yang amat sensitif kepada keseluruhan sistem ekonomi.

Dalam menganalisa ekonomi makro negara, kami telah mengeluarkan beberapa ulasan strategik dalam bentuk cadangan-cadangan, yang mana pada hemat kami mampu untuk meningkatkan pendapatan cukai Kerajaan dan secara langsung memacu pertumbuhan ekonomi.

Bersesuaian juga dengan persiapan ke arah perbentangan bajet 2022 maka berikut adalah pandangan kami terhadap reformasi cukai yang perlu dipertimbangan oleh Kerajaan.

Cukai yang lebih adil dan agihan saksama

Cukai seharusnya menepati tujuan asas pelaksanaannya iaitu sebagai sumber pendapatan kepada Kerajaan supaya dengan itu Kerajaan akan mempunyai dana bagi melaksanakan program-program untuk faedah rakyat keseluruhannya. Dengan kata lain cukai perlu memenuhi konsep asas, iaitu diambil daripada golongan kaya bagi membantu golongan miskin.

Atas asas ini kami pernah mencadangkan beberapa konsep cukai dengan sasaran bagi memastikan pelaksanaan cukai adalah adil dan saksama. Antara yang pernah kami cadangkan ialah:

  1. Cukai Pegangan Saham (Capital Tax on Shares, CTS), yang merangkumi dua komponen;
  • Cukai kepada nilai saham yang dipegang untuk tempoh sekurang-kurangnya satu tahun, dinilai berdasarkan harga terendah saham dalam tempoh 12 bulan sebelumnya.
  • Untuk mengelak dan mengurangkan spekulasi maka cukai juga akan dikenakan kepada margin keuntungan yang diperolehi sekiranya saham yang dipegang dijual dalam tempoh kurang daripada satu tahun.

Kadar cukai yang dicadangkan adalah 2.5%, yang diambil berdasarkan konsep zakat. Bagi membolehkan ianya dilaksana, sudah pasti satu kajian yang teliti dan komprehensif terhadap kebolehlaksanaan, akan dijalankan bagi memastikan kejayaannya, terutama dalam menentukan prosedur-prosedur yang praktikal dan menilai semua kerisauan yang mungkin timbul daripada masyarakat pelabur.

Berdasarkan anggaran simulasi kami terhadapkan pasaran semasa, CTS boleh menghasilkan kutipan cukai sekitar RM12.5 billion.

  1. Cukai Simpanan Korporat (Tax on Corporate Saving, TCS), yang mengambil kira baki tunai dan bank juga termasuk kelas aset-aset kewangan yang lainnya. Kadar yang dicadangkan adalah juga 2,5% berdasarkan konsep zakat, dinilai daripada baki terendah atau baki purata dalam tempoh setahun.

Berdasarkan kapasiti dagangan di pasaran ekuti semasa, kami menganggarkan TCS yang boleh dikutip adalah sekitar RM33 billion.

Kedua-dua cukai CTS dan TCS akan mampu memastikan pengagihan modal yang lebih efisien dalam sistem ekonomi negara. Secara teknikal ianya juga akan mengurangkan fenomena imbangan imbang lembab (lazy balance sheet), di mana baki tunai tidak digunakan sebaiknya dan tidak dilaburkan bagi mengembangkan lagi aktiviti ekonomi di dalam negara, yang menyebabkan hilang potensi dan peluang bagi menambah kesan pekali (multiplier effect) kepada ekonomi.

Cukai yang komprehensif bagi mengelakkan kebocoran hasil

Secara teknikal tidak boleh dinafikan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sistem cukai yang lebih komprehensif disebabkan asasnya yang berdasarkan penggunaan (consumption tax). Dari perspektif untuk mengelakkan ketirisan hasil cukai, GST adalah suatu sistem yang perlu ditimbang dan dinilai secara serius oleh Kerajaan.

Namun bagi mengelakkan kontroversi dalam pelaksanaannya, ada beberapa perkara yang pada pandangan kami, memerlukan penilaian secara serius bagi mengelakkan berlaku ketidakadilan iaitu:

  1. Memastikan penduduk miskin tidak dicukai di dalam urusniaga harian mereka. Namun sekiranya klasifikasi boleh cukai (taxability) penduduk Malaysia digunakan sebagai asas untuk memastikan penduduk miskin tidak dicukai, ianya adalah sesuatu yang rumit untuk dilaksanakan.

    Maka kami mencadangkan pelaksanaan GST secara hybrid dengan meminjam konsep cukai lebihan (leisure tax). Cukai lebihan adalah berasaskan kepada seumber yang tidak digunakan atau perbelanjaan mewah. Justeru, asas cukai adalah “semua barangan dan perkhidmatan tidak dicukai, kecuali yg perlu dicukai” berlawanan dengan konsep asal GST iaitu “semua barangan dan perkhidmatan dicukai kecuali yg tidak perlu dicukai”.
  1. Kadar GST yang lebih adil dan kondusif perlu ditetapkan. Berdasarkan analisa kami kadar GST yang munasabah adalah sekitar 2% hingga 3%.

Berdasarkan simulasi kami, reformasi GST ini dianggarkan memberi kutipan sebanyak RM16 billion untuk Kerajaan.

Cukai ekonomi digital

Kami berpandangan perlu ada sistem cukai yang sesuai dengan perkembangan ekonomi digital supaya tiada kebocoran hasil daripada aktiviti e-dagang yang semakin pesat berkembang. Untuk masa ini kerajaan hanya mengenakan cukai perkhidmatan digital sebanyak 6%.

Ini ada cukai penggunaan (consumption tax) yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna, dan bukan cukai pendapatan (income rax) kepada keuntungan syarikat-syarikat teknologi (tech companies).

Sistem cukai digital yang berasaskan cukai pendapatan juga akan memastikan litupan jaringan cukai yang lebih luas ke atas aktiviti digital, boleh dilaksanakan. Sebagai contoh, pendapatan semua pemain perniagaan atas talian dan gig ekonomi, yang sebelum ini tidak dicukai, dikenakan cukai sebagaimana selayak dan sepatutnya.

Sebagaimana pandangan kami yang lalu, cadangan negara-negara OECD untuk memperkenalkan cukai global minima 15% juga boleh membantu untuk memastikan syarikat-syarikat teknologi dicukaikan untuk setiap keuntungan yang mereka raih daripada aktiviti perniagaan di Malaysia. Ianya juga dapat menghalang syarikat-syarikat besar daripada mengelak untuk membayar cukai, dengan memilih untuk beroperasi di negara-negara yang mempunyai cukai rendah, daripada beroperasi dan membayar cukai di negara asal mereka.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan, PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -