RMK-12: Medan aplikasi demokrasi musyawarah rakyat

- Advertisement -

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) bakal dibentangkan dan menjadi agenda penting negara dalam tempoh 5 hari daripada hari ini. RMK-12 pastilah menarik dan berlainan daripada RMK yang lain setelah kita berdepan pandemik COVID-19. RMK-12 akan menjadi landasan dan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Saya kira ini adalah masa yang paling tepat bagi Kerajaan Malaysia melaksanakan titah KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu Demokrasi Bermusyawarah yang melibatkan rakyat, ahli politik dan tenaga pakar di setiap peringkat tanpa mengambil kira latar belakang ideologi politik mereka. Suara yang diangkat mestilah hanya dengan nada yang satu iaitu demi kepentingan ‘Keluarga Malaysia’ dan bukannya kepentingan individu atau parti-parti politik tertentu sahaja. 

- Advertisement -

Semua pihak mesti berjiwa besar mengambil bahagian dalam proses libat urus bagi menjayakan RMK-12. Penglibatan pelbagai pemegang taruh amat penting khususnya buat negeri-negeri yang mempunyai kawasan luar bandar yang luas yang masih lagi memerlukan tumpuan dan bajet tambahan dari sudut pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial seperti di Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan juga Sarawak.

PAS akan membawa perbahasan RMK-12 melalui konteks Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051) yang digagaskan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Insya-Allah, suara anak muda dalam PAS akan diangkat melalui perbahasan saya dan YB Timbalan Ketua Pemuda, Ahli Parlimen Pasir Mas, al Fadhil Ustaz Fadhli Shaari di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

PAS dalam menuju tahun 2051 telah meletakkan 3 fasa bagi mencapai cita-cita WINS 2051. Fasa Petama (2018-2030); Tranformasi Negara Sejahtera, Fasa Kedua (2031-2040); Negara Sejahtera sebagai Negara Model, dan Fasa Ketiga (2041-2051); Malaysia Memimpin di peringkat Dunia.

WINS 2051 bergerak di atas dua landasan dasar iaitu:

1.Sejahtera.

Sejahtera bermaksud negara yang menjamin ketenteraman, kemakmuran dan kesenangan, kepada rakyat. Ini terhasil daripada gabungan prinsip Perlembagaan Negara, pembangunan manusia dan ekonomi yang menekankan aspek keadilan kepada semua lapisan rakyat.

2. Berkebajikan.

Berkebajikan pula bermaksud pemerintah dan rakyat saling bekerjasama melakukan kebajikan yang disokong oleh sistem yang cekap dan memberi manfaat kepada semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Saya berharap agar projek-projek mega strategik yang dapat merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar mestilah diberikan keutamaan agar pembangunan negara dapat direalisasikan secara adil tanpa ada negeri atau kawasan yang ketinggalan.

Kerajaan pada hari ini tidak perlu lagi mengamalkan diskriminasi ke atas sesebuah negeri atau kawasan atas kepentingan atau dendam politik yang akhirnya akan merugikan rakyat setempat. RMK-12 mestilah menghapuskan budaya pembangunan terpilih dan merealisasikan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2020-2030 secara realiti. RMK-12, apa cadangan anda?

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 22/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4718771381500551/

- Advertisement -