Orang Mukmin menyekat fitnah, tidak gopoh

- Advertisement -

ADA dua isu hangat semalam di Negeri Terengganu, tanah tumpah darahku semalam yang menarik rasa hatiku ini untuk mencoret lagi hari ini. Sekadar membandingkan pemikiran atau pandangan terhadap apa yang berlaku. Jika elok, insya-Allah boleh dijadikan tauladan. Jika tidak, jadikan lah ia sempadan. Begitu pesan orang tua-tua yang bijaksana.

Pertamanya isu bil air percuma yang dijanjikan oleh Menteri Besar (MB) kepada semua pemegang akaun di kawasan terjejas kerana masalah paip bocor di dasar Sungai Terengganu baru-baru ini. Isu yang mahu dibangkitkan ialah kerajaan tidak menunaikan janji.

Syarikat Air Terengganu (SATU) sebagai agensi yang bertanggungjawab, telah mengeluarkan kenyataan bahawa bil sekarang adalah bil anggaran, bukan bil sebenar. Bukan hanya SATU, TNB juga semenjak dahulu menggunakan bil anggaran. Maka ada fitnah ditebarkan kerana mendakwa bil air naik.

- Advertisement -

Kemudiannya MB pula dikatakan berbohong kerana menjanjikan bil percuma, yang sehingga sekarang, belum dilaksanakan. Kejadian berlaku bulan Ogos sehingga ke awal bulan September. Dan hingga kini, belum lagi sampai sebulan pembaikan selesai dilakukan. Tidak terfikir macam mana mereka berfikir. MB tidak menyebut bila tarikh bil percuma itu akan bermula dan di dalam Sidang DUN, Exco terbabit menjawab, akan dilaksanakan segera. Juga tiada tarikh khusus.

Apabila orang mukmin, bersalah dalam menuduh, mereka akan cepat-cepat memohon maaf. Tetapi jika bukan dari kalangan mukmin, mereka akan biarkan fitnah itu berjalan terus, tanpa mereka hapuskan. Dosa-dosa fitnah mereka lakukan itu, langsung tidak menakutkan mereka kerana mereka percaya, ia bukan dosa. Orang mukmin, bila melakukan dosa kecil, mereka rasakan seperti bukit akan dihempap atas mereka. Orang bukan mukmin merasakan seperti lalat sahaja hinggap di hujung hidung mereka.

Keduanya berkenaan isu kain rentang yang memaki hamun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kerana marahkan surau yang masih belum dibuka sepenuhnya bagi mengadakan kuliah. Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) menafikan yang provokasi itu datangnya dari pencinta ilmu agama, walaupun mereka juga berharap agar kuliah secara terbuka dibenarkan segera oleh MAIDAM.

Sejarah telah membuktikan kegopohan, tiada adab dan sikap kurang ajar, keras kepala kepada arahan hanya membawa kepada kemusnahan. Ia pastinya datang dari minda yang kotor sebagaimana beberapa mazhab dalam Syiah yang berkeras membawa pemikiran sesat mereka ke tengah masyarakat, kerana dendam.

Hasilnya ialah majoriti mazhab dalam Syiah, kerja mereka ialah memaki hamun musuh mereka, sama ada yang masih hidup, ataupun yang telah mati. Oleh itu, mesti berhati-hati kepada makian dan cercaan kerana ia bukan sikap mukmin, apatah lagi, kuliah online secara meluas, dibenarkan.

Maka lihat lah kepada sikap manusia yang terkadang berfikir, mereka sedang berjuang atas nama Islam, mereka lah sebenar-benar pejuang, kononnya. Tetapi dengan menggunakan fitnah dan makian atas hal yang salah, Islam mazhab mana yang mereka amalkan?

Lihat lah contoh baik daripada kumpulan ulamak yang juga kecewa kerana hal kuliah ini, tetapi dengan penuh adab dan sopan memohon ia dipertimbangkan. Begitu sikap mukmin. Dapat anda bezakan? Maka jauhi lah mereka yang tidak menunjukkan sifat sebenar orang mukmin ini.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 22/9/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -