RMK-12 strategi tangani kemiskinan Orang Asli

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

JELI:
Strategi dan usaha berterusan menangani isu kemiskinan terutama melibatkan Orang Asli di negara ini akan terus diberi tumpuan khusus melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun berkata, perkara itu berikutan insiden kemiskinan dalam kalangan Orang Asli adalah kira-kira 34 peratus sebelum dilanda pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Jadi di bawah rancangan RMK-12 Kita akan memperkenalkan kaedah-kaedah untuk membawa Orang Asli keluar dari tampuk kemiskinan.

“Jadi ini penting. Kita mahu agenda ini dapat memghapuskan kemiskinan sepertimana dicapai China pada Februari lalu dengan berjaya mengeluarkan 100 juta rakyat mereka daripada kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama beliau berkata, bagi merangka setiap strategi yang mampan dalam menangani hal kemiskinan, pihaknya telah menubuhkan ‘Poverty Circle’ atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan yang melibatkan 25 wakil daripada pihak kerajaan, swasta, universiti serta badan bukan kerajaan.

“Mesyuarat pertama juga telah diadakan pada 1 Julai lepas dan dipengerusikan oleh saya sendiri. Mesyuarat ini juga akan diadakan sekali pada setiap bulan.

“Kita akan berjumpa dan berkongsi pengalaman bagaimana cara untuk menangani kemiskinan di negara ini termasuk kaum Orang Asli,” katanya.

Mengenai rangka strategi dalam membawa Orang Asli keluar daripada kemiskinan Mustapa berkata, selain memberi bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan, pihaknya juga akan memperbanyakkan projek yang boleh menjana pendapatan sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.

“Di Kampung Sungai Rual ini ada penternakan kambing dan ikan keli. Yang terkini kita ada dua projek iaitu satu penanamam cendawan dan cop batik. Jadi, kita akan besarkan projek sebegini yang berdaya maju sehingga mampu tingkatkan atau menjana pendapatan mereka.

“Ini yang penting. Kita mahu supaya dapat kembangkan pendapatan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2021

- Advertisement -