Kerajaan bertindak tegas terhadap pencemar alam sekitar

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15,344 premis dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974), sejak Januari lalu hingga semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sebanyak 6,762 premis daripada jumlah itu dikenakan tindakan tegas kerana kesalahan mencemarkan alam sekitar.

- Advertisement -

Katanya, tindakan yang diambil terhadap premis terbabit ialah 1,267 notis arahan, 4,529 kompaun, 750 penahanan operasi kelengkapan, dua perintah larangan, 12 gantung lesen dan sebanyak 202 kertas siasatan dibuka.

Sebagai perbandingan bagi tempoh sama tahun lalu, katanya sebanyak 16,432 pemeriksaan dilakukan dengan 7,712 tindakan dikenakan, iaitu 2,148 notis arahan, 5,354 kompaun, 94 penahanan operasi kelengkapan, 18 perintah larangan, 22 gantung lesen dan 76 kertas siasatan dibuka,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, isu pencemaran alam sekitar membabitkan premis terbabit, ditangani secara bersepadu menerusi Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) dengan kerjasama pelbagai pihak, terutama kerajaan negeri, polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Biokeselamatan, badan bekalan air dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, tindakan secara bersepadu meningkatkan keberkesanan strategi dan tindakan yang diambil, terutama penguatkuasaan terhadap punca pencemaran, sama ada dari industri, projek pembangunan atau punca lain. – HARAKAHDAILY 22/9/21

- Advertisement -