RM9.19 bilion tangani banjir seluruh negara

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM9.19 bilion melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk melaksanakan 98 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan saliran bandar bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara.

Menterinya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata projek berkenaan termasuk yang disambung dari RMKe-11.

- Advertisement -

Setakat ini, katanya tujuh RTB berjaya disiapkan dan kini berada dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).

“Sebanyak 27 projek RTB pula berada dalam fasa pelaksanaan, manakala 64 projek di peringkat pra pelaksanaan,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas mengenai tragedi kepala air di Yan, Kedah, bulan lalu, Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperuntukkan RM430,000 untuk kerja pemulihan di kawasan itu.

Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan membaik pulih tebing dan mendalamkan sungai yang dijangka siap bulan depan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, operator air di setiap negeri yang menyediakan perkhidmatan bekalan air perlu melaksanakan mekanisme penetapan tarif air (TSM).

Katanya, ini adalah bagi memastikan operator air berada dalam kedudukan kewangan yang stabil dan berdaya maju untuk terus membuat pelaburan dalam infrastruktur air.

“Pada masa ini, kebanyakan operator air berada dalam kedudukan kewangan yang tidak mampan bagi memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, TSM berupaya mewujudkan kaedah penetapan tarif air yang telus, adil dan sistematik untuk kebaikan pengguna, industri, operator air dan kerajaan.

Melalui TSM, katanya, pengguna akan mendapat jaminan bekalan air berterusan melalui pembinaan loji baharu, naik taraf loji dan membaiki paip usang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memaklumkan, Malaysia sedang membangunkan Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon yang dijangka siap akhir tahun depan.

“Pembangunan unjuran dan analisis dijalankan dengan menggunakan beberapa model yang berperanan untuk menyokong dasar berasaskan bukti dan akan menentukan hala tuju dasar karbon negara.

“Ini dengan mengambil kira impak dasar dan potensi pengurangan gas rumah kaca (GHG) daripada tindakan mitigasi perubahan iklim negara yang boleh dicapai sehingga 2050,” katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya bekerjasama dengan kementerian Pengangkutan untuk memuktamadkan Memorandum Jemaah Menteri Mengenai Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB).

Katanya, dokumen ini dirangka selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara dan Dasar Automotif Negara (NAP 2020).

“Pelan tersebut menggariskan fokus dan strategi bagi penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan GHG untuk sektor pengangkutan darat.

“Antara bidang fokus ialah penggunaan kenderaan elektrik (EV) pengangkutan darat merangkumi kereta, bas dan motosikal elektrik,” katanya.

Beliau berkata, strategi dan inisiatif bersesuaian dirangka bagi menggalakkan penggunaan EV dan ini akan membuka peluang pelaburan baharu dan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi hijau. – HARAKAHDAILY 22/9/21

- Advertisement -