CAC maya berjaya kurangkan jumlah pesakit

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluaskan penubuhan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya di luar Lembah Klang selepas terbukti berjaya mengawal kehadiran pesakit Covid-19 ke CAC fizikal.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata hasil penubuhan CAC maya di Lembah Klang berjaya mengurangkan dan mengawal kedatangan pesakit di CAC walaupun jumlah kes positif Covid-19 masih tinggi.

- Advertisement -

Katanya, melalui inisiatif itu, pesakit kategori 1 dan 2 yang bergejala ringan akan dipantau petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara maya.

“Berikutan peningkatan mendadak kes pada pertengahan Julai lalu, di Lembah Klang, Pasukan Bertindak Khas ‘Greater Klang Valley’ (GKV) diwujudkan bagi melaksanakan pelan tindakan dengan lebih aktif, cepat dan menyeluruh ke atas sistem perkhidmatan sedia ada.

“Melalui inisiatif ini, CAC maya atau virtual CAC telah diwujudkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan juga berusaha mengurangkan jumlah pesakit Covid-19 brought-in-dead- (BID) melalui pemerkasaan komuniti.

Katanya, pemimpin masyarakat setempat perlu mengambil berat mengenai penduduk yang dijangkiti Covid-19.

“Mereka perlu tahu mengenai pesakit Covid-19 yang mungkin bergejala, sudah menjalani ujian dan didapati positif, boleh dibawa secepat mungkin ke CAC untuk penilaian.

“Kita juga sedang meningkatkan keberkesanan CAC maya untuk memastikan bahawa mereka yang didapati positif dan bergejala dapat dihubungi melalui panggilan daripada sukarelawan di Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan mereka yang positif Covid-19 dan bergejala dapat menerima rawatan di CAC, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital secepat mungkin untuk mengurangkan jumlah pesakit BID. – HARAKAHDAILY 22/9/21

- Advertisement -