Perkasakan automasi selaras Revolusi Industri 4.0

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU INI Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah bahawa penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian, industri makanan, pelancongan dan mineral perlu dipercepatkan pelaksanaannya.

Baginda menitahkan perkara ini ketika menyampaikan titah perasmian dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Tindakan mempercepatkan tindakan itu titah baginda, bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan kecil, sederhana dan mikro.

- Advertisement -

Selaras dengan keperluan ekonomi semasa, kemajuan teknologi dan Revolusi Industri 4.0 maka memang sudah sepatutnya usaha ke arah automasi dan penggunaan teknologi tinggi dapat diperkasakan lagi.

Automasi memang melibatkan kos yang tinggi untuk mengaplikasikannya, namun ia akan membawa kepada kos purata yang lebih rendah terutamanya dalam soal kos melibatkan tenaga buruh. Ia akan membawa kepada satu tahap kecekapan iaitu pengurangan dalam purata kos pengeluaran berbanding cara tradisional.

Sebagai contoh, katalah sebuah firma menggunakan 10 orang pekerja dengan setiap pekerja dibayar gaji sebanyak RM1500 sebulan. Katalah firma ini membeli sebuah mesin automasi yang berharga RM100 ribu dan dapat mengurangkan separuh daripada tenaga buruh menjadikan lima orang sahaja.

Katalah mesin itu jangka hayat penggunaannya ialah selama lima tahun, ini bermakna seolah-olah kos untuk membeli mesin itu ialah RM1666 sebulan berbanding dengan kos gaji untuk lima orang pekerja yang berjumlah RM7500 sebulan.

Namun dilema untuk pengautomasian ini ialah kos permulaan untuk membeli peranti atau sistemnya yang tinggi. Namun kesan kepada penjimatannya hanya dapat dirasai dalam jangka panjang.

Penulis pernah menonton satu dokumentari memaparkan sistem ladang penternakan lembu di Belanda. Dalam dokumentari itu menunjukkan sebuah ladang dengan 1000 ekor lembu hanya dikawal oleh enam orang pekerja sahaja kerana semua aktiviti dilakukan oleh mesin dan peranti secara automatik.

Banyak contoh mudah kita boleh lihat bagaimana IKS menggunakan automasi dalam pengeluaran mereka. Penggunaan ‘vinding machine’ adalah contoh paling mudah bagaimana sistem perniagaan tradisional digantikan dengan mesin automasi.

Mungkin dahulu kita hanya lihat vending machine digunakan untuk menjual minuman ringan sahaja. Namun sekarang berbagai-bagai jenis vending machine kita boleh lihat. Malah kedai dobi layan diri itu juga adalah antara kategori vending machine. Jadi kita boleh membuka kedai tanpa memerlukan ramai pekerja.

Sekitar tahun 2018, syarikat pengendali lebuh raya PLUS telah mula menukar sepenuhnya sistem pembayaran tiket tol secara Touch’nGO. Ini adalah contoh perubahan daripada cara manual kepada automasi sepenuhnya oleh sebuah firma.

Sebenarnya banyak faedah yang boleh diperolehi apabila menggantikan penggunaan manusia dengan peranti automasi. Penggunaan peranti automasi membolehkan industri mengatasi isu atau masalah yang biasa dihadapi oleh manusia yang tidak berlaku pada mesin.

Antaranya, manusia mempunyai tahap keletihan dan emosi. Kadangkala apabila mereka menghadapi masalah di rumah mereka tidak dapat memberi tumpuan pada pekerjaan atau mereka mungkin mengambil cuti. Ini tidak berlaku pada peranti atau mesin.

Penggunaan buruh melibatkan kos gaji lebih masa yang lebih tinggi daripada waktu biasa sekiranya mereka diperlukan untuk pekerja lebih masa. Sebaliknya peranti automasi boleh bekerja 24 jam bergantung kepada tahap kualiti sesuatu peranti dengan kos yang sama.

Namun proses memperkasakan penggunaan teknologi dan automasi ini juga harus seiring dengan keperluan guna tenaga buruh. Maksud penulis, jangan sampai penggunaan automasi menyebabkan ramai tenaga buruh yang menganggur pula.

Kerana itu pada pendapat penulis pada masa ini kerajaan dan agensi-agensi penyelidikan dan inovasi harus membuat kajian terhadap sektor-sektor yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada buruh asing seperti perladangan dan pembinaan.

Sektor ini yang digelar sebagai 3D (dirty, danger and difficult) adalah sektor yang kurang diceburi oleh rakyat tempatan. Jadi penumpuan penggunaan automasi pada sektor ini tidak mengganggu periuk nasi rakyat tempatan.

Selain itu kerajaan juga harus mengenalpasti teknologi-teknologi dari luar negara untuk kedua-dua sektor ini yang dapat membantu pemain-pemainnya agar dapat melakukan perubahan dalam teknik bekerja mereka agar selaras dengan kemajuan teknologi dalam bidang automasi.

Automasi pula harus seiring dengan kemampuan sumber manusia untuk mengendalikan sesuatu peranti atau sistem itu. Program latihan dan pendidikan yang selaras dengan kemajuan teknologi automasi yang ingin digunakan harus diperkasakan.

Walau pun terdapat kebimbangan bahawa automasi boleh menjejaskan peluang pekerjaan dan menjumudkan banyak bidang pekerjaan namun sekiranya ia ditangani secara bersepadu maka masalah ini boleh diatasi.

Yang kita harapkan ialah pengautomasian ini akan menjurus kepada peningkatan dalam produktiviti dan pengurangan dalam kos purata pengeluaran yang akhirnya akan memberi keuntungan kepada pengguna dan ekonomi secara makro. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -