Kebajikan penduduk di lokasi tanah runtuh diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Sehingga sekarang, seramai 103 penduduk yang tinggal di Jalan Kemensah Heights dipindahkan daripada kediaman mereka untuk sementara waktu berikutan kejadian tanah runtuh di lokasi terbabit.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kejadian tersebut.

Katanya pada 17 September lalu, pihak berkuasa menerima laporan berlaku kejadian bencana geologi tanah runtuh di kawasan perumahan Kemensah Heights, Ampang, Selangor.

Advertisement

“Berdasarkan siasatan awal, Jabatan Mineral dan Geosains, Malaysia (JMG) menyatakan ia dicetuskan oleh faktor hujan sama ada yang turun secara berlebihan atau turun dalam tempoh masa yang lama.

“Faktor pencetus ini bersama faktor penyumbang lain seperti bahan geologi dan morfologi cerun di tempat kejadian telah menyumbang kepada berlakunya kegagalan cerun dan mengakibatkan tanah runtuh berlaku,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya juga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui JMG mempunyai kepakaran dalam bidang geologi dan berkaitan diberi tanggung jawab untuk menjalankan siasatan lanjut.

Kata beliau juga semua pihak sedang berusaha menjalankan langkah-langkah yang difikirkan perlu supaya masalah sama tidak berulang dan kebajikan Keluarga Malaysia yang terjejas diberi perhatian sewajarnya.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan takziah kepada penduduk yang terlibat.

Semalam ahli parlimen Gombak Dato Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan memberitahu sebanyak RM1 juta diperlukan segera bagi mengelakkan runtuhan tebing di lokasi kejadian terus berlaku. – HARAKAHDAILY 19/9/2021