Berbeza agama tetapi membantu dengan sifat kasih sayang

- Advertisement -

Oleh JANIRA AIN ABU BAKAR

KOTA KINABALU:
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan St. Paul Penampang, Puan Maglin melahirkan rasa bersyukur dan terharu atas kerja keras para petugas PAS yang menunjukkan sifat dedikasi dalam membantu mangsa banjir, semalam.

Beliau yang ditemui semasa misi pembersihan pasca banjir mengucapkan terima kasih kepada para petugas PAS.

“Kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada kamu (PAS). Walaupun kita berbeza agama, tetapi kamu sudi datang memberi bantuan dengan sifat kasih sayang,” ujarnya.

- Advertisement -

Dalam misi tersebut, seramai 13 anggota Jabatan Amal dan Briged Muslimat dari Pantai Barat Sabah termasuk beberapa petugas dari Sandakan telah berkampung selama tiga hari bermula 17 September lalu di Penampang.

Program ini turut melibatkan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS negeri, LKK Dewan Muslimat PAS negeri serta beberapa NGO iaitu Sabah Relief, Khidmat Malaysia Sabah dan Pertubuhan Rescue Ummah.

Kerja-kerja pembersihan akibat banjir dijalankan di beberapa buah sekolah yang terlibat, antaranya Sekolah Kebangsaan Sugud dengan bantuan para guru.

Sementara itu ADUN Lantikan, Dr Aliakbar Gulasan turut memaklumkan sebanyak 250 bakul makanan dan 200 karton minuman sudah diedarkan kepada para penduduk.

“Saya berharap penduduk sekitar Penampang akan terus tabah menghadapi ujian ini,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri turut memberi jaminan bahawa bantuan akan terus disalurkan oleh PAS Sabah dari semasa ke semasa.

Turut hadir, Pengerusi LKK PAS Sabah Ustaz Mustaqim Aling. Beliau sempat memberikan sedikit suntikan semangat kepada para mangsa. Pengarah YADIM Sabah, Ustaz Muhammad Akmal Othman juga turun padang bagi menyampaikan sumbangan.

Para penduduk menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk setakat ini.

Hujan lebat berterusan yang melanda Pantai Barat Sabah sejak 15 September lalu turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh di beberapa tempat sekitar daerah Penampang dan Putatan. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -