Kemunculan Azalina kejutkan Dewan Rakyat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Azalina Othman Said menyebabkan Ahli Dewan Rakyat terkejut apabila muncul di kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mempengerusikan sesi petang hari ketiga Sidang Parlimen di sini, hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen sempat mengucapkan selamat kembali kepada Ahli Parlimen Pengerang yang bagaimanapun memberitahu, beliau hanya diminta untuk mempengerusikan persidangan buat sementara waktu.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnon, pula dalam satu kenyataan berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3), pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Yang Dipertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu untuk sementara waktu.

Katanya, perkara itu tidak perlu diberitahu kepada majlis mesyuarat dan ahli yang mempengerusikan mempunyai semua kuasa Yang Dipertua sehingga Yang Dipertua kembali semula mengetuai mesyuarat.

Azalina pada 23 Ogos lalu meletakkan jawatan Timbalan Yang Dipertua menyebabkan pemilihan jawatan yang dikosongkannya, mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada hari kedua persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang berlangsung selama 17 hari. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -