Covid: Hampir 75,000 dewasa Terengganu belum divaksin

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sedang mengesan seramai 74,910 penduduk dewasa di negeri itu yang belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mereka yang terlibat dinasihatkan segera mendapatkan suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat sama ada secara ‘walk-in’ atau jumpa terus ataupun pendaftaran melalui MySejahtera.

- Advertisement -

“Kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama cari, kejar, ajak hampir 75,000 lagi rakyat negeri kita yang belum menerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri juga memaklumkan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 Terengganu mengesan kadar vaksinasi yang rendah di Dungun, Setiu dan Besut berbanding daerah-daerah lain di negeri itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan itu disebabkan penduduk di daerah tersebut telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di daerah bersebelahan atau mereka sedang bekerja dan menerima suntikan di negeri lain.

“Semua pihak di daerah berkenaan termasuk JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) sedang mencari seramai mungkin bilangan individu dalam data, tetapi gagal dikesan di mana mereka berada.

“Adakah kemungkinan mereka mendapatkan vaksin di daerah sebelah atau di negeri lain tempat mereka bekerja dan tidak berada di kampung halaman mereka sendiri, maka data dimasukkan di kawasan itu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -