Guru bimbang lanjut sesi pembelajaran murid jadi lesu

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Rata-rata guru menyambut baik lanjutan sesi pengajian tahun ini bagi membolehkan mereka memberi perhatian dan dorongan kepada murid-murid yang tercicir atau ketinggalan semasa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Sekolah Rendah Islam Al-Furqan (SRIAF), Mohd Azreen Jumri berkata, guru boleh membuat persiapan yang lebih baik sebelum bersemuka dengan murid apabila memasuki fasa keempat nanti.

- Advertisement -

Katanya, masih ramai murid yang keciciran semasa menjalani PdPR kerana guru tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

Mohd Azreen Jumri

“Peluang lanjutan sesi persekolahan memberi kelebihan kepada guru dan murid agar dapat menampung sukatan pelajaran yang tidak difahami murid dengan baik,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan tahun ini akan dilanjutkan hingga Februari tahun hadapan (2021) sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya pada Mac 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, semua murid akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing sehingga Januari dan Februari tahun hadapan.

Menurutnya, lanjutan itu membolehkan pelajar dan guru divaksin sepenuhnya sehingga mencapai imuniti kelompok yang diperlukan.

Seorang guru lagi, Muhammad Hadi memohon KPM dapat memperinci lagi berkenaan lanjutan sesi persekolahan yang bakal dijalankan tersebut.

Muhammad Hadi

“Hal ini kerana kebanyakan guru hampir selesai melaksanakan silibus yang ditetapkan, jadi mereka tertanya-tanya silibus apa yang bakal diajar sehingga Februari tahun hadapan.

“Kecuali untuk pelajar yang akan menjalani peperiksaan utama kerana peluang ini boleh digunakan untuk membuat ulangkaji,” katanya.

Kata beliau juga, tindakan lanjutan sesi pembelajaran akan membuatkan murid semakin lesu belajar di rumah disebabkan tiada aktiviti baharu dan mengulang tajuk yang sama.

Sementara itu seorang ibu, Helmeza Ahmad, 39 berkata jika sesebuah negeri mencapai imuniti kelompok dan peratus kes menurun lebih baik sesi persekolahan dibuka.

Helmeza Ahmad

Beliau yang mempunyai lima anak yang menjalani PdPR mengalami sedikit kelesuan oleh kerana perlu menjadi guru sementara di rumah bagi semua tahap pembelajaran anak-anak di rumah.

“Wabak ini akhirnya akan menjadi endemik, bermaksud kita perlu belajar hidup bersama dengan wabak kerana kehidupan perlu diteruskan di samping menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Namun apa pun, kita serahkan kepada pihak berwajib kerana mereka mungkin ada alasan yang terbaik dalam mengurus pentadbiran negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -