Maritim Malaysia rampas 40 bungkusan plastik hitam daun ketum

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Sebanyak 40 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis pada kedudukan 0.1 batu nautika daripada barat pantai Kurung Tengar, Perlis pada jam 6.45 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, rampasan dibuat berikutan pengesanan maklumat risikan berkaitan sindiket tempatan yang bergiat aktif melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak untuk melakukan pengesanan dan serbuan menerusi Op Benteng Laut di perairan Perlis awal pagi tadi.

- Advertisement -

“Semasa rondaan, anggota bot telah mengesan dua individu dalam keadaan mencurigakan baru selesai memunggah keluar muatan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dari sebuah kenderaan jenis Proton Waja ke pesisir pantai dan dipercayai menunggu masa sesuai untuk diambil oleh bot bagi tujuan diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.

“Namun, sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bungkusan plastik hitam di lokasi,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan 40 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan-bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan anggaran berat 400 kilogram bernilai RM72,000 mengikut anggaran nilai semasa di negara Thailand iaitu RM180 bagi sekilogram daun ketum berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70 sahaja.

“Kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum itu telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut. 

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya lagi.

Menurutnya, jika disabit kesalahan, suspek yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, katanya hasil siasatan juga mendapati, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan suspek adalah sama seperti sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -