KUALA LUMPUR: Rungutan mengenai bilik darjah yang sesak dengan bilangan murid yang terlalu ramai adalah isu yang lebih utama bagi sesi persekolahan tahun ini, berbanding persoalan sama ada kantin sekolah ditutup atau dibuka pada Ramadan kali ini.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, negeri Selangor berkata, sekolah-sekolah khususnya di Selangor ada yang sudah mencecah lebih 50 orang murid untuk satu kelas.
“Selangor menjadi negeri yang menerima kemasukan tertinggi daripada murid prasekolah sehingga tingkatan lima dengan jumlah mencecah satu juta.
“Bagi murid tahun satu dan tingkatan satu sahaja, jumlahnya mencecah 100,000 murid. Kalau satu kelas mencecah sehingga 40 hingga 50 orang murid, bayangkan bagaimana guru mampu mengawal dan mengajar murid dengan baik?
“Tahap penerimaan murid dalam kelas berbeza dan risikonya akan ada murid yang ketinggalan dan keciciran,” katanya.
Tambah beliau, masalah itu berlaku susulan jumlah sekolah yang tidak mencukupi untuk menampung kepadatan penduduk di kawasan tertentu terutamanya di bandar, yang menjasi lebih teruk jika ada projek perumahan yang semakin pesat di kawasan tersebut.
“Solusinya, pembinaan kemudahan sosial di kawasan sekeliling seperti sekolah, klinik dan fasiliti penting lain untuk rakyat mesti dijadikan syarat utama kelulusan projek perumahan mengikut kapasiti penduduk.
“Walaupun kerajaan sudah mengumumkan pembinaan 26 buah sekolah dalam bajet, solusi jangka pendek masih perlu. Mungkin ada sekolah yang perlu disusun untuk dua sesi persekolahan,” tegasnya.
Menurut Zurk lagi, keadaan ini boleh dicapai jika usaha mewujudkan jumlah optimum murid dalam sesebuah kelas diambil berat oleh pihak kerajaan.
“Proses pengajaran dan pembelajaran mesti memberi keselesaan kepada guru dan murid. Guru sepatutnya berupaya memberi bimbingan ‘hands on’ kepada setiap murid. Murid pula berhak mendapat perhatian daripada setiap guru”, katanya.
Terdahulu, melalui platform X, GUMIHO@orangGajiDokter baru-baru ini, seorang pengguna memuat naik semula video seorang pengguna TikTok memaparkan keadaan ketika berada di dalam dewan sekolah anakmua, dipercayai di Lembah Kelang ketika sesi persekolahan bermula pada 13 Mac 2024.
Berdasarkan daripada video yang dimuat naik itu, individu berkenaan telah meluahkan perasaan terkejut apabila mendapati jumlah murid darjah satu yang berdaftar di sekolah itu terlalu ramai.
Justeru disebabkan faktor tersebut, pihak sekolah berkenaan terpaksa menyediakan sebanyak 13 kelas yang setiap satunya memuatkan 50 murid darjah satu berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/3/2024