Perak sasar 100 tan metrik E-Sisa (E-Waste)

- Advertisement -

IPOH: Perak mensasarkan 100 tan metrik pengumpulan sisa elektronik atau E-Sisa di peringkat nasional sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi mencapai sasaran itu.

- Advertisement -

“Populasi rakyat Malaysia sebanyak 32.6 juta (2019) berpotensi menjana sebanyak 8.8 kilogram E-Sisa setiap orang dan dijangkakan penghasilan E-Sisa setiap isi rumah akan meningkat sebanyak 24.5 juta tan metrik menjelang 2025.

“Sisa ini mengandungi bahan toksik dan logam berat yang sangat berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, merkuri, selenium dan lain-lain yang terkait dengan pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat program Pertandingan Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik Peringkat Negeri Perak tahun 2021 bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di sini hari ini.

E-Sisa dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110 dibawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (2005).

Terdapat 6 jenis E-Sisa yang dikategorikan sebagai barang kawalan seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh, komputer peribadi, pendingin hawa dan telefon bimbit.

Jelasnya, perkembangan teknologi dan kebergantungan pengguna terhadap barangan elektrik dan elektronik, peningkatan populasi, dan taraf hidup masyarakat serta urbanisasi menjadi faktor utama pertambahan buangan E-Sisa.

Mengulas lanjut, beliau berkata pertandingan tersebut bakal melibatkan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula 10 September hingga 21 Oktober dengan sasaran 10 tan E-Sisa bagi setiap PBT.

“Pertandingan ini bertujuan meningkatkan kerjasama antara pengeluar serta penglibatan sektor awam selain meningkatkan kesedaran awam terhadap pengurusan E-Sisa dengan selamat dan mesra alam,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada enaja program ini, Gading Kencana Sdn Bhd, atas kerjasama yang diberikan. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/154446448068883/posts/1908650935981750/?d=n

- Advertisement -