Kongres Rakyat diharap kekal medium bebas

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS, Misbahul Munir Masduki berharap Sekretariat Kongres Rakyat dapat kekal sebagai medium bebas serta bersifat merakyat ke akar umbi.

Katanya, kongres itu mestilah memperjuangkan nasib rakyat dari golongan marhaen seperti petani, penternak, dan nelayan.

Advertisement

Misbahul Munir juga berharap ia dapat berfungsi sebagai medium untuk rakyat menyalurkan permasalahan ekonomi dan sebagainya kepada kerajaan.

“Kongres rakyat hendaklah kekal sebagai medium yang bebas dari sebarang parti.

“Kongres mestilah bersifat merakyat ke akar umbi, bukan dipentas yang dibarisi oleh ahli akademik atau politik.

“Sebarang resolusi yang dikemukakan juga perlulah berbentuk cadangan pelan tindakan yang progresif serta mampu dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Sekretariat Kongres Rakyat, Mohd Shuhaimi Embong di atas pelantikan itu.

Sekreteriat Kongres Rakyat 2.0 akan mengadakan Kongres Ekonomi Rakyat pada 12 September ini bersempena menyambut ulang tahunnya yang keenam.

Kongres itu dijangka akan merumuskan Pelan Tindakan Ekonomi Rakyat (PTER).

Sebarang urusan berkaitan, boleh berhubung terus dengan Sekretariat Kongres Rakyat 2.0 yang baharu dibentuk. – HARAKAHDAILY 9/9/2021