Masalah bekalan air pulih lebih awal

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Masalah air Berangan yang berlaku di Kuala Nerus dan sebahagian daerah ini mula pulih sejak pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan yang berlaku berjaya diselesaikan lebih awal daripada jangkaan sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat.

“Bekalan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit sebahagiannya telah berjaya diaktifkan dengan keupayaan 60 juta liter air sehari (MLD) melalui muka sauk Pulau Bahagia.

- Advertisement -

“Keupayaan penuh loji ini adalah 120 MLD yang dijangka siap pada Mei 2022 nanti. 

“Sebanyak empat peratus kawasan yang berada di hujung kawasan sistem agihan akan menerima air sedikit lewat,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Namun begitu, jelas Dr Mamad, unit agihan air akan mengekalkan aset sedia ada bagi membantu kawasan yang belum mendapat bekalan air.

“Tempat berkenaan berada di kawasan yang tinggi, kita jangka ia pulih sepenuhnya awal pagi esok, insya-Allah,” katanya.

Tambah Dr. Mamad, LRA Bukit Berapit merupakan penyelesaian strategik jangka masa panjang bagi pembekalan air bersih di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

“Kita juga berharap sejarah yang berlaku ini tidak akan berulang lagi.

“Kerajaan Terengganu dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Penghargaan juga kepada, operator-operator syarikat air, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Bomba, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Khidmat Malaysia, Unit AMAL, NGO, dan sukarelawan yang hadir dari seluruh Negara bagi membantu pengguna yang terkesan dalam krisis ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata proses pembaikan paip pecah di dasar sungai tetap berjalan seperti biasa.

“Dalam operasi penyelesaian masalah Air Berangan ini kita ada dua option, satu melalui Loji Bukit Berapit yang telah selesai ini, dan kedua pembaikan di dasar sungai.

“Loji Bukit Berapit sudah selesai lebih awal, dan masalah air kembali pulih, kerja di dasar sungai sedang berjalan, apabila ia siap, kita ada dua alternatif bagi mengelakkan masalah sama berulang,” tambah beliau. – TRDI.my

- Advertisement -