Kelulusan EIA PSR dibatalkan, P Pinang disaran tumpu PTMP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang disaran menumpukan perhatian kepada masalah kesesakan lalu lintas negeri itu, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu membuat kajian semula mengenai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) setelah kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dibatalkan Lembaga Rayuan yang dikemukakan oleh Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail.

- Advertisement -

“Eloklah kerajaan membatalkan sahaja rancangan untuk PSR (Projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang) dan menumpukan perhatian kepada PTMP.

“Kerajaan negeri perlu membuat kajian semula terhadap PTMP, dalam skop yang betul-betul boleh menyelesaikan kesesakan lalu lintas, itu sepatutnya diberi keutamaan dan fokus oleh kerajaan negeri.

“Kerana selepas ini akan ada cabaran kepada kerajaan negeri, kalau tidak selesaikan masalah kesesakan lalu lintas, maka kemunculan KXP (Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim) akan memberi kesan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

“Oleh itu, kerajaan mestilah memberikan fokus kepada masalah kesesakan lalu lintas yang teruk dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.

Menurutnya lagi, rakyat Pulau Pinang terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya ketika waktu puncak.

Katanya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), kesesakan di negeri itu sudah parah, apatah lagi sekiranya industri ekonomi dibuka secara menyeluruh selepas Covid-19 diisytihar sebagai endemik.

“Sepanjang PKP ini pun, waktu puncak masih lagi berlaku ksesakaan lalu lintas, ditambah dengan hujan, bayangkan selepas dibuka semula kepada orang ramai?

“Tentulah kesesakan lalu lintas ini akan menjadi parah dan akan jadi seperti dahulu. Segala kesusahan, kesulitan, akan dihadapi semula,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pihaknya maklum mengenai idea menjadikan PSR untuk mendanai PTMP, namun penambakan tiga pulau buatan di bawah nama PSR itu pada awalnya tidak termasuk di dalam PTMP.

Katanya, idea PSR itu muncul setelah DAP mentadbir di Pulau Pinang.

“Sepatutnya selesai masalah kesesakan lalu lintas, tiba-tiba berubah kepada pembangunan, jadi kita hendak kerajaan fokus,” katanya.

Pada Rabu, Lembaga Rayuan mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Terdahulu, notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan JAS oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 di bawah seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974). – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -