
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Lebih 60 peratus penggiat industri pelancongan di Kelantan telah menerima suntikan vaksin Covid-19.
Langkah itu sebagai persediaan untuk membuka kembali sektor berkenaan sekiranya kerajaan membenarkan rentas negeri, mengikut arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, sehingga sekarang lebih 60 peratus penggiat pelancongan di negeri itu menerima vaksin.
Manakala selebihnya kata beliau masih menunggu giliran mendapat suntikan.
“Saya berharap penggiat sektor pelancongan dapat mengambil suntikan vaksin Covid-19 segera, tambahan pula sekarang kerajaan membuka pusat vaksinasi secara ‘walk-in’.
“Dengan adanya inisiatif yang disediakan kerajaan itu diharap mereka dapat mengambil suntikan vaksin supaya dapat mengelak berlaku jangkitan Covid-19.
“Ini sekaligus memudahkan mereka sekiranya sektor pelancongan dibuka kembali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim semalam.
Menurutnya setakat ini tiada daripada golongan berkenaan bersikap antivaksin di Kelantan.
Oleh itu beliau berharap semua penggiat sektor pelancongan dapat memberi kerjasama dengan mendapatkan vaksin bagi menjaga keselamatan diri masing-masing dan orang sekeliling.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan Langkawi akan menerima kehadiran pelancong mulai 16 September sempena sambutan Hari Malaysia, setelah sebahagian besar penduduk di pulau itu menerima vaksin. – HARAKAHDAILY 9/9/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!