ADA yang bertanya mengenai bagaimana nak selesaikan isu lompat parti. Sebelum kita melihat soal penyelesaian, elok kita fikirkan kenapa masalah ini wujud dan kenapa kita perlukan undang-undang anti lompat parti.
Lompat parti ini berlaku bila seseorang wakil rakyat yang bertanding atas satu-satu parti menukar parti atau keluar dari parti asalnya. Ia menjadi satu masalah kerana tindakannya tidak selari dengan kehendak pengundi-pengundi yang memberikan kemenangan kepadanya. Sebahagian besar pengundi memilih atas faktor parti, bukannya faktor calon.
Selain itu, lompat parti juga menjadi masalah kerana ia kadang-kadang menyebabkan berlaku konflik politik sehingga membawa kepada perubahan kerajaan seperti yang berlaku mutakhir ini. Keadaan menjadi lebih buruk bila wujud ketidaktentuan politik akibat wakil-wakil rakyat boleh bertukar-tukar sokongan dengan mudah.
Dari sudut integriti pula, budaya lompat parti boleh mendedahkan risiko berlakunya sogokan politik kepada ahli-ahli politik. Jika wakil rakyat menukar sokongan politik atas sebab tawaran untuk mendapat habuan dalam bentuk jawatan, pangkat atau dilepaskan dari pertuduhan mahkamah, maka ia adalah satu bentuk rasuah politik yang menjijikkan.
Namun kita tidak boleh nafikan ada yang menganggap ‘lompat parti’ ini adalah satu tindakan yang wajar atas justifikasi tersendiri. Ada yang menyebut bahawa wakil rakyat berhak untuk membuat penilaian semula terhadap perubahan pada dasar, pendekatan atau prestasi kerajaan, atau perubahan sikap pucuk pimpinan kerajaan dalam tempoh sesuatu penggal pemerintahan.
Bagi mereka, wakil rakyat kerajaan berhak untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan atas sebab perubahan, yang menurut pendapatnya, menjejaskan kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama, wakil rakyat pembangkang juga berhak membuat penilaian dan mengubah pendirian daripada tidak menyokong kerajaan, kepada pendirian sebaliknya.
Justifikasi ini kelihatan logik dari sudut kebebasan berpolitik. Namun pertimbangan adil perlu dibuat antara kebebasan untuk memilih sokongan politik dan kestabilan politik negara. Pengalaman kita yang menghadapi ketidaktentuan politik negara akibat budaya lompat parti sepatutnya menjadi sandaran untuk menolak alasan tersebut. Tambahan pula sekatan ke atas pertukaran parti bukannya berkekalan kerana ia hanya meliputi tempoh sesuatu penggal pentadbiran kerajaan. Wakil rakyat yang merasakan perlu menukar haluan politik tetap berhak melakukan ‘lompat parti’ selepas Parlimen dibubar, iaitu menjelang Pilihan Raya Umum berikutnya.
Dari perspektif lain pula, isu lompat parti perlu dilihat dari sudut kejujuran, kesetiaan dan disiplin. Seseorang yang berada pada kedudukan yang tinggi dari sudut kepimpinan sepatutnya menjadi contoh yang baik dari aspek kejujuran, kesetiaan dan disiplin. Menukar sokongan politik dan menjadi penentang kepada parti yang mengangkat dirinya sebagai wakil rakyat bukan sahaja satu sikap tidak setia, bahkan boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan yang mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, undang-undang menghalang lompat parti tidak boleh dilabelkan sebagai undang-undang yang menghalang kebebasan, tetapi ia adalah undang-undang yang bertujuan untuk mewujudkan politik yang bermaruah dan berprinsip.
Dari sudut penyelesaian pula, secara ringkasnya saya nyatakan bahawa ia wajar dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan menambahkan Perkara 48A, selepas Perkara 48 (Kehilangan kelayakan menjadi Ahli Parlimen). Teks yang dicadangkan ialah seperti berikut:
Perkara 48A: Kesetiaan Politik
Seseorang Ahli Parlimen yang dipilih dalam pilihan raya yang mana dia dicalonkan mewakili sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia –
(a) keluar dari parti itu; atau
(b) mengundi di Parlimen secara bertentangan dengan kehendak parti itu, tertakluk kepada kewujudan ikrar bertulis dan bertandatangan oleh Ahli Parlimen tersebut berkaitan kesan berkenaan, tetapi tindakannya itu tidak melucutkan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya selepasnya.
Insya-Allah dalam catatan berikutnya saya akan memperincikan rasional cadangan di atas dan beberapa pilihan cadangan lain bagi meningkatkan kestabilan politik dari sudut mekanisme perundangan. Sama-sama kita doakan agar para pemimpin dan rakyat mengutamakan politik muafakat dan matang serta mengurangkan pertembungan atau konflik politik.
Salam merdeka!
DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembangaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 1/9/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100002592335141/posts/4275118675917835/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.