Waspada helah politik gugat kerajaan PN

- Advertisement -

SUDAH terang lagi bersuluh. Bukan lagi rahsia bahawa parti pembangkang dalam usaha kembali berkuasa selepas hanya memerintah selama 22 bulan, mahu melihat Perikatan Nasional (PN) berpecah belah.

Ini dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Pahang di Bentong, Mac lalu.

Walaupun Guan Eng tidak mahu mengulas lanjut mengenai kenyataannya itu, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina, itulah hasrat Pakatan Harapan (PH) dan DAP untuk melihat kejatuhan PN.

- Advertisement -

DAP tidak perlu menunggu lama kerana sebahagian daripada sasaran itu kini sudah menjadi kenyataan apabila Umno membuat keputusan drastik untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Bagaimanapun, sebahagian sasaran itu masih gagal kerana kerajaan PN tetap utuh dan Muhyiddin juga kekal sebagai PM yang sah.

Bagi DAP, amalan politik yang menghalalkan cara, siapa sahaja boleh menjadi kawan menjayakan rencana kuasa hatta musuh tradisi sekalipun.

Masih ingat lagi peristiwa akhir tahun lalu, apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, daripada Bersatu hilang keyakinan majoriti di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kemudian terpaksa mengumumkan peletakan jawatan.

DAP pantas memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan musuh politik tradisinya, kononnya untuk membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi di negeri itu apabila tiada satu parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun, impian DAP tidak menjadi kenyataan berikutan pembentukan kerajaan baharu Perak yang diterajui Menteri Besar daripada Umno, mendapat sokongan padu PAS dan Bersatu.

Oportunis mungkin menjadi perkataan paling tepat ditujukan terhadap DAP yang mahu mengambil kesempatan ketika kemelut politik di Perak.

Jika di Perak, DAP menghadapi kegagalan, senario terkini menunjukkan kejayaan di peringkat pusat semakin hampir dicapai berikutan kegoyahan kerajaan PN baru-baru ini.

Ada desas-desus pihak tertentu mahu menarik sokongan terhadap Muhyiddin sekali gus menjatuhkan kerajaan PN. Berlaku tarik-menarik dalam kalangan sebahagian ahli Parlimen.

DAP melihat perkembangan ini dengan senyuman lebar

Jangan lupa dengan cadangan DAP melalui pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang, supaya moratorium politik atau gencatan senjata politik diadakan dengan alasan supaya ada kerajaan yang stabil dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Moratorium politik cuma helah DAP yang mengambil kesempatan dengan menawarkan sokongan kepada pihak yang tidak mempunyai majoriti.

Terkini kenyataan media seorang pemimpin DAP berbunyi PH sedia ambil alih kerajaan mengesahkan helah mereka atas nama Jajaran Baharu. Biarlah apa nama yang digunakan, DAP akan kekal berada di atas. Mencatur dan memerintah dalam perpecahan umat Melayu. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -