Muhyiddin tidak ambil jalan mudah pertahan prinsip

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu beliau boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip untuk kekal sebagai perdana menteri.

Namun kata beliau tindakan itu bukan pilihan beliau.

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

- Advertisement -

“Sesungguhnya, jawatan yang saya pikul ini bukan suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

“Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Menurutnya juga walaupun pada awalnya beliau mencadangkan supaya keabsahan sebagai perdana menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan terhadap.

Selain itu cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan ditolak parti-parti pembangkang.

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai perdana menteri ditentukan di Parlimen.

“Maka pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh ahli jemaah menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut ‘jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri’.

Kata Muhyiddin itulah kehendak dalam Perlembagaan beliau mesti patuhi.

Menurutnya juga biarpun ada rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia supaya beliau meneruskan tugas dan tidak meletakkan jawatan, namun beliau tidak dengari.

“Rayuan itu tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -