Muhyiddin dikenang sebagai pemimpin berprinsip

- Advertisement -

MENJADI pemimpin berprinsip bukan suatu perkara yang mudah. Dalam dunia politik sejak dahulu hingga sekarang, bukan sedikit pemimpin yang kecundang kerana godaan untuk mempertahankan prinsip amat besar.

Namun Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuktikan bahawa turun dan naiknya dalam politik adalah kerana prinsip. Lebih indah apabila prinsip itu adalah untuk mempertahankan kebenaran, menentang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Dilahirkan di Muar, Johor, Muhyiddin yang kini berusia 74 tahun, pernah menyandang pelbagai jawatan dalam kerajaan, termasuk Menteri Besar Johor, Menteri Kabinet dan kemudian Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, pada 2015.

- Advertisement -

Ketika sidang media mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau berkata dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, enam tahun lalu semata-mata kerana mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

Prinsip juga menyebabkannya sanggup meletakkan jawatan apabila keabsahannya sebagai Perdana Menteri dipertikaikan seteru politik.

“Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya,” katanya.

Jika tidak berprinsip, Muhyiddin boleh sahaja mengekalkan jawatannya dengan berkompromi terhadap tuntutan pihak tertentu dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus jumlah Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya tidak terjejas dan terus kekal sebagai Perdana Menteri. 

Bagaimanapun, Muhyiddin bukan begitu orangnya. Ini berikutan penegasannya bahawa beliau tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

Beliau juga menyedari bahawa jawatan yang dipikulnya bukan suatu kemegahan kerana ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

Cuma cabaran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 amat besar. Ketika itulah, wabak Covid-19 semakin serius dan tumpuan perlu dberikan untuk menangani penularan wabak itu yang bukan sahaja meragut nyawa manusia, malah menggugat keutuhan ekonomi.

Malangnya, cabaran politik yang dihadapi juga adalah besar apabila bukan sahaja parti pembangkang yang cuba menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan, malah segelintir yang berada dalam kerajaan pun ada yang bermasalah.

Walaupun ada yang mempertikaikan cara kerajaan menangani wabak Covid-19, realitinya ada negara lain yang dikatakan berjaya menangani wabak itu kemudian menghadapi masalah mengawal penularan gelombang demi gelombang penyakit itu, terutama apabila varian baharu lebih bahaya seperti Delta muncul.

Thailand yang sebelum ini, kes jangkitan lebih rendah berbanding Malaysia, kini terpaksa mengadakan perintah berkurung pada waktu tertentu akibat penularan wabak itu.

Muhyiddin dan Kabinet beliau sebenarnya meninggalkan jasa yang besar kepada rakyat kerana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah memberi kesan besar untuk meningkatkan bilangan rakyat yang mendapat perlindungan melalui suntikan vaksin.

Setakat semalam, seramai 27.8 juta rakyat mendapat suntukan vaksin, iaitu 17.1 juta menerima satu suntikan dos dan 10.7 juta menerima dua dos.

Meskipun selepas ini, Muhyiddin hanya bergelar caretaker sementara menanti Perdana Menteri baharu dilantik, beliau sempat mengingatkan rakyat supaya tidak bimbang dengan kelangsungan program vaksin kerana Kabinet telah menempah lebih 87 juta dos vaksin bernilai RM4.36 bilion untuk rakyat.

Malaysia kini mengatasi negara maju seperti Korea Selatan dan Australia dalam pemberian vaksin. Malah Muhyiddin melahirkan keyakinan bahawa negara akan dapat keluar dari krisis pandemik ini dalam masa terdekat berdasarkan perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Klang apabila jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.

Muhyiddin sepatutnya terus diberikan peluang memimpin negara dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 dan cabaran getir ekonomi, tetapi usahanya berakhir gara-gara percaturan politik tidak berprinsip. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -