Lantik bekas menteri Muhyiddin sebagai PM

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kemelut politik yang melanda negara ketika ini akhirnya menyebabkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa melepaskan jawatan yang disandangnya selama 18 bulan dan sekali gus membuka ruang kepada pelantikan Perdana Menteri baharu.

Bagaimanapun, Penganalisis Politik, Dr Muhammad Tawfik Yaakub, berpandangan bahawa Perdana Menteri baharu perlu dilantik daripada kalangan bekas anggota Kabinet Muhyiddin.

Katanya, ini bagi memastikan dasar berkaitan kesihatan dan ekonomi kerajaan sebelum Ini dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat, memandangkan negara masih berada dalam keadaan yang sukar ketika ini.

- Advertisement -

Menurutnya, meski pun terdapat sedikit sebanyak implikasi berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu akan datang, namun perlantikan itu perlu berasaskan aspirasi menyelamat serta menjaga kebajikan rakyat.

“Walaupun pentadbiran negara kini akan terus dijaga buat sementara waktu oleh Ketua Setiausaha setiap kementerian, mereka hanya meneruskan dasar sedia ada.

“Oleh itu, pelaksanaan itu sewajarnya dilakukan berdasarkan ketetapan keputusan yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu ketika kerajaan masih mempunyai menteri, ” katanya.

Beliau bagaimanapun memuji kewibawaan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana bersikap sebagai negarawan berjiwa besar yang sepenuh hati menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai asas utama perjalanan pentadbiran negara.

“Kita sukar untuk menemui negarawan demikian selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri keempat suatu ketika dahulu.

“Selama menerajui kerajaan, saya melihat beliau sebagai Perdana Menteri zaman perang dan mempunyai Kabinet perang ketika kita berhadapan wabak Covid-19, kemelut politik dan kemerosotan ekonomi,” katanya.

Beliau juga melihat Kabinet Muhyiddin telah menjalankan tugas dengan baik kerana sebarang kelemahan yang kemudian diperbaiki adalah proses biasa dalam mana-mana pentadbiran kerajaan. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -