KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah mencurahkan khidmat bakti.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, Kerajaan PN yang dipacu oleh Muhyiddin telah berusaha sedaya upaya menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19.
Hasilnya, kata beliau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin menunjukkan kejayaan dengan mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia.
Katanya lagi, kerajaan juga telah menempah lebih 87 juta dos vaksin yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion buat negara.
“Begitu juga strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijangka dapat diselesaikan hujung tahun ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sepanjang pentadbiran PN lebih RM530 bilion telah diperuntukkan dalam lapan pakej ekonomi bagi menjaga kesihatan dan meneruskan kelangsungan hidup rakyat.
“Justeru, PAS berharap momentum kerajaan PN dahulu perlu diteruskan dan tidak boleh diganggu gugat demi negara kita akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat,” ujarnya.
Pada tengah hari tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa pada hari lni pada sesi menghadap di Istana Negara.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020 khususnya dalam memerangi pandemlk Covid-19.– HARAKAHDAILY 16/8/2021