Peletakan jawatan Muhyiddin penuh tanggungjawab

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai ‘gentleman’ dan penuh tanggungjawab mengikut perlembagaan negara.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, sudah menjadi amalan demokrasi berparlimen apabila tiada sokongan, maka Perdana Menteri ketika itu perlu dengan penuh tanggungjawab meletak jawatan termasuk jemaah menterinya.

“Bagaimanapun, rakyat tidak perlu bimbang akan keadaan ini kerana sistem penyampaian perkhidmatan awam terus berjalan seperti biasa kerana setiap kementerian mempunyai Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai awam yang pakar dan mahir dengan bidang tugas masing-masing dan tidak terjejas dengan pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan.

- Advertisement -

“Malah, usaha-usaha memerangi Covid-19 dan perluasan program vaksinasi akan terus berjalan sepertimana yang dirancang oleh menteri sebelum ini. Begitu juga dengan urusan-urusan melibatkan kemaslahatan rakyat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Oleh itu jelasnya, dengan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri interim atau caretaker adalah bagi membolehkan transisi pemerintahan sebelum ini kepada pemerintahan baharu dapat berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun katanya, apa yang telah berlaku dalam tempoh tiga tahun itu wajar direnungi dengan penuh keinsafan kerana dengan berlaku sebanyak tiga kali pertukaran kerajaan dalam satu penggal, ia boleh menjadi penanda aras terhadap tahap kematangan politik di Malaysia.

Justeru, kerajaan baharu yang bakal mentadbir negara ini diseru untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan bukan hanya bersifat kosmetik.

“Pelantikan kerajaan baharu diseru agar tidak bersifat kosmetik seperti mengurangkan jumlah menteri dan timbalan menteri agar kantung kewangan tidak terbeban.

“Selain itu, Pelan Pemulihan Nasional (PPN) perlu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan seperti garis panduan yang lebih jelas, inisiatif ekonomi jangka pendek yang lebih agresif, memperluaskan program vaksinasi dengan kadar yang lebih cepat dan menilai semula proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menyaksikan ramai pelajar tercicir,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -