Rakyat sedih Muhyiddin letak jawatan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia diiringi perasaan sedih dan hiba ramai rakyat Malaysia.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan ketika negara berdepan dua krisis besar iaitu krisis politik dan pandemik Covid-19.

Katanya, senario politik tanah air berubah lagi dek kerana sekumpulan wakil rakyat menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

- Advertisement -

“Persoalannya, adakah wajar kerajaan dijatuhkan pada waktu kes harian Covid-19 berada pada lingkungan 20,000 kes sehari? Adakah nafsu serakah politik melangkaui keprihatinan kepada rakyat?

“Beberapa hari mendatang pastinya paling kritikal dalam memastikan satu kerajaan baharu dapat dibentuk, yang stabil tanpa ganggu gugat ahli-ahli parlimen yang mempunyai agenda sendiri,” katanya.

Tambahnya, DPIM yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk langkah seterusnya agar politik negara dapat distabilkan dan fokus diberikan dalam usaha membendung pandemik Covid-19.

“DPIM menyeru semua ahli Parlimen agar memikirkan nasib rakyat. Jawatan yang dipegang sekarang sepatutnya tidak dijadikan sebagai satu kemegahan untuk kepentingan peribadi.

“Tetapi harus melihat bahawa ianya satu tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Justeru itu, DPIM turut menyarankan agar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersiap siaga dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terkawal.

Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diseru agar perlu memainkan peranan supaya tiada usaha memberi dan menerima habuan politik dalam usaha melobi jawatan Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, DPIM mendoakan agar Perdana Menteri yang bakal dilantik merupakan seorang yang prihatin keadaan rakyat, tanpa menggunakan kedudukan itu untuk PRU-15.

“DPIM menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendoakan semoga Allah memuliakan beliau di atas perjuangan dan jasa beliau dalam mengemudi negara pada waktu pandemik Covid-19,”katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -