UMMAH junjung kasih kebijaksanaan Agong

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menjunjung kasih dan sembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perhatian yang diberikan kepada memorandum daripada UMMAH bersama 175 badan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan kerajaan Islam (NGI).

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata hari ini kebijaksanaan Agong telah terserlah dengan keputusan baginda memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

- Advertisement -

“Antara perkara yang kita sebutkan di dalam memorandum tersebut adalah meminta campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk meredakan perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin politik hari ini.

“Kita memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan secara bijaksana dan mengutamakan kepentingan rakyat di sebalik pertikaian keabsahan jawatan Perdana Menteri.

“Hari ini, pihak Tuanku telah menggunakan kebijaksanan dan menghilangkan ganggu-gugat pihak-pihak lain yang sangat berkepentingan merebut jawatan Perdana Menteri ini.

“Baginda melantik semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai caretaker Perdana Menteri bagi meneruskan agenda-agenda penting negara, antaranya dalam menangani wabak Covid-19, menjayakan pelan vaksinasi Negara dan pelan pemulihan negara. Hal inilah agenda paling penting yang perlu di selesaikan buat masa ini,” katanya.

Tambah Mohd Zai, pihaknya berharap masa yang ada itu diberikan secukupnya sehingga Perdana Menteri baru dilantik, maka usaha-usaha ini akan memberikan kebaikan yang besar kepada negara dan rakyat.

“Inilah yang UMMAH mahukan supaya segala polimik perebutan kuasa ini dapat dihentikan dan syukurlah Baginda telah bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

“Inilah yang dikatakan bahawa Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong sentiasa memayungi rakyat dan mengutamakan kemakmuran Negara,” katanya.

Kata beliau lagi, sekiranya kemelut politik ketika ini selesai, beliau yakin baginda akan memastikan pelantikan Perdana Menteri yang baharu dilaksanakan atau mempertimbangkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Seterusnya, memberi semula kuasa kepada rakyat untuk melantik pemimpin mereka yang menurut rakyat betul-betul berkhidmat untuk kepentingan rakyat, katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -