Rakyat perlu kekal suasana tenang, elak gawat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini hendaklah kekal dalam suasana kedamaian dan mengelakkan timbul suasana gawat dalam masyarakat.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sudah melakukan yang terbaik kepada rakyat.

Katanya, keadaan politik yang tidak menentu sekarang orang ramai hendaklah berada dalam suasana tenang dan berfikiran secara lapang.

- Advertisement -

“Apa yang Allah atur sebenarnya yang terbaik untuk kita. Kita tidak tahu apa yang Allah susun. Kita beriman dengan qada dan qadar Allah. Allah akan memberi pahala kepada kita.

“Apa yang penting kekalkan suasana kedamaian dan ketenteraman, jangan timbulkan suasana yang gawat dalam kalangan masyarakat.

“PAS dan rakan-rakan dalam kabinet akan uruskan sebaik mungkin situasi ini supaya kestabilan negara dapat dikekalkan,” katanya pada satu kenyatan hari ini.

Beliau berharap ahli dan penyokong PAS hendaklah mendapat maklumat yang betul daripada saluran yang betul dan bukan melalui media yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berharap penyokong PAS terus bermunajat dan berdoakan agar diberi jalan dan petunjuk supaya dapat mengurus situasi yang berlaku sekarang.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, hari ini mungkin pengakhiran tugasan sebagai menteri.

Menurutnya juga pencapaian eksport komoditi negara suku kedua (April-Jun) 2021 merupakan penutup yang baik apabila nilai eksport produk agrikomoditi melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding RM64 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Namun terserah kepada rakyat untuk menilainya setelah bertawakal kepada Allah dengan mengharapkan reda dan ganjaran daripada-Nya.

“Terima kasih kepada semua yang mendukung saya dalam tugasan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -